Kedai Runcit

PENJANA Beri Tumpuan Besar Kepada PKS – Perdana Menteri

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro mendapat tumpuan lebih besar menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akibat penutupan ekonomi selama dua bulan akibat penularan COVID-19.

Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil yang menghadapi masalah aliran tunai termasuk membayar gaji pekerja dan sewa premis, menerusi beberapa langkah dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian.

Katanya, kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha berkenaan menerusi geran padanan sebanyak RM140 juta, di mana peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.

Inisiatif itu akan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.

“Bagi PKS dan syarikat pada peringkat pertengahan atau ‘mid-tier companies’, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.

“Ini termasuk, RM100 juta membabitkan Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah; dan RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta,” katanya.

Dalam usaha membantu kelangsungan PKS terbabit dalam sektor kepentingan yang disasarkan, Muhyiddin berkata, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.

“Pembiayaan ini boleh dipohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS,” katanya.

Mengulas mengenainya, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata apa yang diumumkan kerajaan adalah pelan pemulihan yang komprehensif sekiranya PKS dapat mengatasi masalah kewangan terutama berkaitan aliran tunai.

Katanya, sejumlah 60 peratus PKS memiliki aliran tunai yang boleh bertahan untuk tempoh tiga bulan.

“PKS masih memerlukan sokongan kewangan yang besar dari kerajaan untuk menikmati faedah seperti yang diumumkan kerajaan menerusi PENJANA.

“Program subsidi upah umpamanya memberi manfaat kepada PKS, namun syarikat yang berdepan aliran tunai tetap akan berdepan masalah berdasarkan kedudukan kewangan mereka,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close