Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memperlihatkan komitmen jitu kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Ia menerusi langkah menangani pengangguran dan melindungi pendapatan rakyat yang terjejas oleh penularan COVID-19, demikian kata penganalisis.
Beliau berkata, insentif yang diumumkan dilihat mampu meningkatkan keyakinan pengguna dan penggunaan, sekali gus meletakkan ekonomi negara ini berada dalam landasan untuk pulih.
Katanya, suntikan langsung RM10 bilion oleh kerajaan juga dilihat mampu mewujudkan momentum pemulihan dalam jangka pendek dan memastikan permintaan agregat kukuh.
“Keyakinan pengguna dan penggunaan adalah penting untuk merangsang ekonomi. Kami jangka ekonomi Malaysia akan stabil dalam dua suku tahunan selanjutnya dan mengunjurkan pertumbuhan satu hingga dua peratus bagi keseluruhan 2020,” katanya kepada BH bagi mengulas PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan PENJANA mengangkat isu pengangguran sebagai agenda utamanya.
Beliau berkata, ia dapat dilihat dengan usaha yang serius dalam aspek pendigitalan ekonomi, yang mana adalah ciri dan sifat penting ekonomi negara pasca COVID-19.
Katanya, sejumlah besar diperuntukkan untuk program peningkatan kemahiran, subsidi latihan dan elaun latihan.
“Inisiatif dan program yang diberikan untuk pendigitalan ekonomi ini begitu fokus, terutama kepada golongan muda, graduan dan bakal graduan pada tahun ini yang akan terkesan akibat daripada wabak ini, peniaga terutamanya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor peruncitan dan perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai peruntukkan RM35 bilion untuk PENJANA mencukupi, Irwan Shah berkata, jika ia dipantau dan dilaksanakan dengan baik, peruntukan itu mencukupi meskipun berpandangan kerajaan masih ada ruang untuk menambah jumlah itu.
Namun, beliau berkata, ia bergantung kepada perolehan data dan perkembangan wabak COVID-19 dan ekonomi negara dari masa ke semasa.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata peruntukan fiskal RM10 bilion secara langsung daripada peruntukan keseluruhan RM35 bilion dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk menjana atau merancakkan ekonomi negara.
Beliau berkata, suntikan fiskal secara langsung itu dalam bentuk penerusan subsidi upah, insentif pengambilan pekerja, e-dompet RM50 dan geran kepada perniagaan terutamanya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memberi impak yang positif kepada golongan yang memerlukan.
“Sebagai contoh, subsidi upah yang dilaksanakan sebelum ini memberi manfaat kepada 2.4 juta pekerja dan penerusan subsidi upah ini sekurang-kurangnya diharap dapat memastikan kadar pengangguran tidak naik secara mendadak.
“Pemberian geran kepada PKS terutamanya dalam membantu proses pendigitalan untuk meluaskan lagi potensi pasaran dan pelanggan turut membantu kelestarian perniagaan untuk terus berdaya saing,” katanya.
Amed Razman berkata, PENJANA itu juga dilihat bersifat dinamik yang mana jika wujudnya keperluan tambahan untuk menjana ekonomi, ia boleh diubahsuai supaya impaknya lebih tepat dan pantas.
Beliau berkata, ia bukan saja memberi penekanan kepada golongan B40, malah golongan orang kelainan upaya (OKU) dan juga golongan wanita juga ditekankan. – BERITA HARIAN ONLINE