Turun Naik

PENJANA Perkasa Rakyat, Pacu Pertumbuhan Negara

Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

 

Pendekatan Malaysia menangani cabaran COVID-19 adalah dengan pendekatan 6R, iaitu Ketegasan (Resolve); Ketahanan (Resilience); Memulakan Semula (Restart); Pemulihan (Recovery); Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

Ketika ini, kita berada pada fasa keempat, iaitu pemulihan dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) jangka pendek sudah dibentangkan.

Seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, PENJANA juga memfokus tiga teras utama, iaitu memperkasa rakyat, melonjakkan perniagaan dan juga merangsang ekonomi.

Ada dua perkara menarik perhatian dalam dokumen PENJANA ini. Pertama, ia usaha bersasar dan progresif dalam menangani isu pengangguran yang kadar pengangguran di negara ini, dijangka akan berada pada paras 5.5 peratus, lebih buruk daripada kemelesetan ekonomi dihadapi negara kita pada 2009.

Perluasan program subsidi upah dan pelbagai insentif menggalakkan mereka yang menganggur untuk meningkatkan kemahiran serta pelbagai inisiatif dan program upskilling (menambah kemahiran) dan reskilling (latihan semula), adalah tepat dan ke arah yang betul.

Selain itu, perhatian khusus juga diberikan kepada pengangguran belia dan kebolehpasaran graduan, melalui skim peluang perantis.

Dari perspektif hala tuju ekonomi negara pasca COVID-19, PENJANA meletakkan asas kondusif untuk mensiapsiagakan ekonomi kita untuk beralih kepada ekonomi digital, industri 4.0 dan norma baharu dalam aktiviti ekonomi.

Seperti disebutkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, COVID-19 ini ‘telah mengubah cara ekonomi beroperasi.’

Kenyataan ini penting kerana ia akan memberikan impak dari segi untuk mencapai keseimbangan baharu kepada permintaan dan penawaran buruh dalam pasaran, sekali gus dapat mengurangkan peningkatan mendadak dalam kadar pengangguran di negara ini.

Pelbagai langkah dan galakan diperkenalkan di bawah PENJANA agar pekerja, penganggur serta graduan yang akan memasuki pasaran buruh mendapat insentif dan program untuk bersedia dengan ekonomi dan perniagaan digital.

Ekonomi gig sahaja diperuntukkan RM75 juta dengan peruntukan RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW) supaya rakyat Malaysia bersedia berhadapan dengan perniagaan digital dan bersaing pada peringkat global.

Perkara kedua menarik perhatian dalam PENJANA ini, adalah usaha meningkatkan keyakinan dalam ekosistem ekonomi itu sendiri, baik kepada pengguna, peniaga dan juga pelabur. Sekali lagi, penekanan terhadap PKS terutama dalam aspek beralih ke arah pendigitalan menyeluruh.

Ini kerana berbanding dua pakej sebelum ini, kali ini institusi berkaitan PKS dan perniagaan digital digembleng bersama contohnya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

Pelbagai dana khas diperuntukkan kepada pemain PKS untuk meningkatkan pembinaan kapasiti perniagaan ke arah ekonomi digital seperti Geran Padanan Digital PKS, Dana Transformasi Teknologi PKS dan Geran Automasi Pintar.

Selain itu, jelas sektor yang begitu terkesan akibat COVID-19 diberikan keutamaan untuk dijana semula seperti pelancongan, pertanian, peruncitan, hartanah dan automotif.

Inisiatif bagi pelancongan domestik, kempen Buy Malaysia, Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA, Kempen Pemilikan Rumah, Program ePenjana, e-dompet, Shop Malaysia Online, Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah, dan juga pengecualian cukai jualan hingga 100 peratus ke atas penjualan kereta dijangka memberikan keyakinan kepada sektor terkesan, sekali gus dapat merangsang ekonomi negara dalam jangka pendek.

Selain itu, usaha kerajaan menarik pelabur asing dan tempatan yang melabur di luar untuk memindahkan fasiliti ke negara ini agak memberangsangkan.

Ini kerana akibat perang dagang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta COVID-19, banyak syarikat luar akan bertindak memindahkan lokasi mereka.

Jadi kita perlu menyediakan insentif tertentu untuk menarik mereka berniaga dan melabur di negara ini.

Ini bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat, bahkan memacu pertumbuhan negara pada masa hadapan.

Satu usaha progresif terkandung dalam PENJANA ini ialah penubuhan National Technology and Innovation Sandbox dalam usaha untuk mempercepatkan aplikasi teknologi tinggi, seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan drone kepada sektor dalam ekonomi sejajar agenda negara dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Tumpuan sektor pertanian diharap dapat memodenkan lagi industri ini. Antara aspek boleh diuji cuba dalam sektor pertanian ialah pelaksanaan kaedah vertical farming atau pertanian tanaman bertingkat.

Kenapa pertanian bertingkat?

Ia akan mencipta peluang pekerjaan baharu dengan pendapatan lumayan.

Pertanian boleh dilakukan pada setiap masa dan setiap hari tanpa memikirkan isu gangguan perubahan cuaca, lebih mampan dan mesra alam sekitar dengan air boleh digunakan semula serta tidak perlu menggunakan bahan kimia yang boleh merosakkan alam sekitar seperti pesticides, fertilizers, dan herbicides.

Apa lebih menarik sekali mengenai konsep ini, adalah ia boleh menggunakan banyak bangunan di bandar yang dijangka akan kosong akibat kesan COVID-19 ini disebabkan normal baharu seperti bekerja dari rumah.

Satu instrumen menarik diperkenalkan untuk menjana perniagaan dalam PENJANA ini ialah Sukuk Prihatin.

Ini langkah inovatif kerana ia menggalakkan keusahawan sosial ataupun social entrepreneurship yang begitu relevan dalam mendepani ekonomi pasca COVID-19.

Kita perlu mewujudkan usahawan yang bukan sahaja memikirkan untuk memaksimumkan keuntungan semata-mata, bahkan mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat dan negara.

Jelas sekali, kejayaan PENJANA ini bergantung kepada pembabitan semua pihak.

Kita perlu fokus untuk memastikan fasa keempat dalam usaha mendepani cabaran kesihatan dan ekonomi ini berjalan lancar untuk memastikan dua fasa terakhir, iaitu pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan panjang dapat dirangka dengan berkesan dan holistik. – BERITA HARIAN ONLINE

  • Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close