Anak pekebun getah, Jazlin Jusoh muncul pelajar Orang Asli tunggal di Pahang berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), di sini menganggap kejayaan yang diraih hasil kesungguhan tanpa mengenal erti penat dalam mengejar cita-cita menjadi pendidik suatu hari nanti.
Jazlin berkata, kejayaan itu hadiah paling bermakna untuk ibunya, Juriah Lima serta ayah, Jusoh Kutar yang banyak berkorban untuk melihat dia berjaya dalam pelajaran, seterusnya dapat membela nasib keluarga suatu hari nanti.
“Hari ini saya berjaya buktikan anak pekebun getah boleh berjaya dalam pelajaran berkat usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu, masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk mengulang kaji pelajaran.
Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu lagi, dia berharap impian untuk melangkah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi kenyataan, seterusnya dapat bertugas sebagai guru suatu hari nanti.
“Saya akan mengambil jurusan pendidikan Geografi yang menjadi minat saya sejak dahulu lagi, diharapkan langkah berkenaan membuka peluang sebagai guru suatu hari nanti.
“Menambahkan lagi rasa bangga mendapat keputusan cemerlang semalam, hari ini saya menerima anugerah pelajar terbaik peringkat kebangsaan kategori Orang Asli daripada Majlis Peperiksaan Malaysia,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Dua Hulu, di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, hanya seorang pelajar Orang Asli di Pahang mendapat PNGK 4.0 dan seramai 21 pelajar mendapat PNGK 2.80 yang dikategori cemerlang.
Katanya, JAKOA akan membantu pelajar terbabit melanjutkan pelajaran ke menara gading dalam bidang yang diminati.
Sebelum ini, pelajar yang mencatat keputusan membanggakan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dibantu.
“Saya berharap kejayaan pelajar yang diraih Jazlin dan pelajar lain dapat menjadi contoh kepada remaja Orang Asli lain untuk berusaha mencatat kejayaan dalam pelajaran,” katanya. – BH ONLINE