Tidak mahu terlalu bergantung kepada sumbangan dalam menguruskan pusat pengajian, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Faqeh di Kampung Tongkah, Morib dekat sini tampil mengusahakan tanaman nanas jenis MD2 untuk menjana pendapatan.
Beliau berkata, dengan wang infaq bapanya membeli beberapa ekar tanah di kawasan berkenaan menjadikan keseluruhan luas tanah di kawasan maahad itu adalah 15 ekar.
“Disebabkan tanah yang luas, saya membuat buat keputusan untuk usahakan tanaman nanas. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerja mengajar pula dilakukan secara dalam talian jadi saya mula beli 1,000 sulur pokok MD2 dan tanam secara manual.
“Selepas itu, tanam secara berperingkat dan kini ada 100,000 pokok nanas di atas tujuh ekar tanah.
“Kita bukan mengatakan minta sumbangan itu salah tetapi kita tidak mahu terlalu bergantung pada sumbangan selain mahu maahad ini ada sumber kewangan sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Tongkah, Morib dekat sini, baru-baru ini.
Usaha pusat pengajian itu turut mendapat sokongan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam bentuk geran bantuan tanaman iaitu sulur tanaman dan baja.
Ahmad Zulfadhli berkata, setakat ini pihaknya sudah menuai hasil nanas di empat ekar tanah dan dituai secara berperingkat.
Katanya, setiap ekar tanaman nanas yang dituai boleh memberi pulangan antara RM40,000 hingga RM70,000 bagaimanapun, ia bergantung kepada penghasilan buah berikutan ada buah yang kecil serta rosak.
“Selepas ini, rancangan saya adalah penuhkan semua tanah yang ada dengan tanaman nanas selain menjadikan kawasan ini sebagai agropelancongan di bawah produk nanas.
“Kawasan ini dekat dengan Pantai Morib dalam 800 meter saja, jadi ia peluang untuk kami jadikannya sebagai agropelancongan dan pusat pengumpulan produk daripada pengusaha kebun di kawasan ini.
“Saya juga merancang untuk membuat produk sendiri berasaskan nanas seperti jus, sambal dan lain-lain,” katanya. – BH ONLINE