PULANG BERMARUAH !
Jangan putus asa Harimau Malaya, anda perlu bangkit semula.
Tunjukkan konsisten anda wahai Harimau Malaya.
Keputusan seri 3-3 yang dilakar ketika menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, malam tadi harus menutup cerita sedih dan panas Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023.
Kini, walaupun terpaksa pulang awal dari kejohanan itu, pasukan kendalian Kim Pan Gon tetap mendapat pujian tinggi kerana hampir 39 tahun skuad senior Harimau Malaya tidak meraih mata berdepan skuad Taegeuk Warriors.
Menurut laporan BH Online, kali terakhir Malaysia meraih mata berdepan Korea Selatan adalah ketika menang 1-0 pada 1985 dan selepas itu skuad negara tewas dalam semua empat pertembungan.
Justeru, walaupun seri, tidak salah untuk seluruh peminat meraikan keputusan itu, apatah lagi reputasi Korea Selatan begitu besar dengan mereka berada di kedudukan 23 dunia berbanding Harimau Malaya di ranking 130.
Kesilapan Harimau Malaya adalah ketika dua aksi awal kumpulan yang mana mereka gagal mempamerkan persembahan sebenar semasa menentang Jordan kerana gugup.
Persembahan lebih baik dipamerkan pada aksi kedua menentang Bahrain, namun kegagalan melakukan penyudah berkesan dan kurang bernasib baik menyebabkan mereka tewas.
Itu yang membezakan persembahan yang ditampilkan ketika menentang Korea Selatan, walaupun pasukan lawan jauh menguasai permainan, namun penyudah berkesan yang berjaya dilakukan pemain Harimau Malaya memberikan keputusan yang lebih positif. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY/PIX FAM