Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Santai dan bersahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berbaju Melayu biru muda sewaktu hadir berbuka puasa dengan lebih 1,000 pengamal media dan penggiat seni di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam tadi.
Anwar yang hadir di Dewan Merdeka kira-kira jam 6.30 petang disambut pengurusan tertinggi beberapa agensi media.
Sebelum berbuka, Anwar turut meluangkan masa bersalaman, berbual dan beramah mesra dengan hadirin pada majlis itu serta ada pengisian program tazkirah Ramadan.
Kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada ketua-ketua agensi media, wartawan dan jurukamera, tempatan dan antarabangsa, selain penggiat seni serta 30 anak yatim dari Rumah Kasih Ibu, Ampang hadir pada majlis itu.

Selain itu, selebriti tempatan yang hadir termasuk penyanyi tersohor, Datuk Nora Ariffin, artis versatil Ifa Raziah; pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal serta penyampai radio dan penyanyi Dina Nadzir serta pengarah filem, Datuk Suhaimi Baba. – BACALAHMALAYSIA.MY/FB RASMI ANWAR IBRAHIM