Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024 memulakan pergerakan ke Masyair untuk berwukuf di Arafah, Muzdalifah dan Mina mulai jam 6 pagi ini (waktu tempatan) secara berperingkat dengan menaiki bas khas yang disewa pihak Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang membuat pelepasan pagi tadi berkata, ada tiga bas yang akan bergerak dari Maktab 77 dan 78 di Hotel Abraj Al-Janaderiyah, begitu juga dari maktab lain.
Mohd Na’im mengharapkan dan mendoakan semua jemaah yang memulakan wukuf esok akan diberikan kemudahan dalam perjalanan untuk berwukuf di Arafah tanpa sebarang masalah dan mendapat haji yang mabrur.
“Kita mengharapkan agar jemaah haji memberikan tumpuan kepada ibadah dan jika sampai awal mereka boleh memulakan persediaan untuk isu tempat duduk. Mereka juga boleh menumpukan pada ibadah, zikir dan berusaha mendapat pahala besar wukuf di Arafah kerana ia merupakan tempat paling mustajab untuk berdoa.
Sebanyak 20 bas disediakan untuk setiap maktab. Terdapat 10 maktab yang dibahagikan kepada empat (4) zon iaitu Zon A, Zon B, Zon C dan Zon D.
Jemaah yang sakit dan perlukan bantuan khas juga akan dibawa menaiki Safari Wukuf, bas khas ke Arafah dan mereka ini akan ditemani oleh PENEMAN iaitu Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman bagi membantu jemaah warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji atau masyair.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, penguatkuasaan daripada pelbagai pihak berkuasa pada tahun ini sangat ketat dan banyak tangkapan sudah dibuat.
Sehubungan itu beliau menasihati jemaah haji tahun akan datang agar lebih berhati-hati untuk elak masuk ke Makkah dan Madinah tanpa permit sah sama ada visa yang dikeluarkan oleh TH atau visa Mujamalah.
Mohd Na`im berkata, kesemua jemaah Malaysia yang sudah berada di dalam bas sudah disemak oleh pihak berkuasa Nusuk dan kemudian bas terbabit akan ada satu pelekat khas dilekatkan pada pintu bas sebagai tanda khusus untuk memudahkan pihak berkuasa yang membuat sekatan jalan raya mengenal pasti bahawa penumpang bas sudah disemak.
“Ini menandakan keseriusan Kerajaan Arab Saudi dalam menguatkuasakan peraturan di setiap pit stop sebelum bas sampai di Arafah,” katanya. – BH ONLINE