Kedai Runcit

Perodua Jual 52,920 Unit Kereta Setakat Tahun Ini

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjual 52,920 unit kenderaan setakat lima bulan pertama tahun ini dengan penguasaan pasaran sekitar 41 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19 yang belum berakhir memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan.

“Perodua menjual 7,886 kenderaan pada Mei, menyaksikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit. Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat Mei yang dianggarkan 129,401 unit, PERODUA menguasai 41 peratus bahagian pasaran.

“Kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kembali beroperasi di seluruh negara, PERODUA berjaya mendekati angka jualan Mac kami sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan.

PERODUA berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

Menyentuh mengenai jualan Mei, Zainal Abidin, berkata daripada 7,886 unit yang dijual, sejumlah 2,612 unit disumbangkan model Myvi, manakala Axia (2,028 unit), Bezza (1,820 unit), Aruz (950 unit) dan Alza (476 unit).

“Dalam era penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah.

“Pemandu e-hailing juga bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang di samping mengangkut penumpang. Jadi, kenderaan Perodua amatlah sesuai untuk tujuan berkenaan kerana cirinya yang kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu.

“Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close