MalaysiaPilihan Editor

Perolehan Kapal LCS Adalah Kritikal – TLDM

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

TLDM melalui kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, berkata ini kerana keupayaan tempur yang perlu dimiliki tentera itu perlu sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Katanya, sebagai ‘pengguna akhir’ kelewatan pelaksanaan projek berkenaan memberi kesan negatif bukan saja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malah kepada moral warga tentera yang memerlukan kapal LCS untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

“Sehubungan itu, TLDM amat menghargai keputusan yang dibuat kerajaan untuk meneruskan projek terbabit.

“TLDM berpandangan ia adalah keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.

“TLDM juga ingin menyeru semua pihak supaya berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya di sini.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Pada masa sama, menurut TLDM, pihaknya menyokong supaya sebarang ketirisan di dalam projek itu disiasat dengan pihak yang terbukti terbabit dalam isu berkenaan dibawa ke muka pengadilan segera.

“TLDM juga mengambil maklum dan melihat daripada sudut positif terhadap laporan PAC itu, selain amat mengalukan syor dikemukakan jawatankuasa terbabit dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek LCS ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close