Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi amaran terhadap mana-mana kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran produk pertanian.
Tegas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha menangani manipulasi orang tengah dan kewujudan kartel dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.
“Buktinya semalam Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan amaran terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. – BH ONLINE