Kedai RuncitPilihan Editor

AI bantu peruncit jimat kos operasi hingga 30 peratus – Mydin

Teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membantu peruncit menjimatkan antara dua hingga 30 peratus kos operasi menerusi pengoptimuman pelbagai proses perniagaan, sekali gus menjadi strategi penting bagi mengekang tekanan kos dan mengekalkan harga barangan pada kadar berpatutan.

Pengarah Teknologi Maklumat, Sumber Manusia, Pencegahan Kerugian dan Keselamatan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Malik Murad Ali, berkata penggunaan AI membolehkan syarikat meningkatkan kecekapan operasi dalam aspek logistik, pengurusan tenaga kerja, latihan kakitangan dan penggunaan tenaga.

“Daripada segi proses, ada yang mampu menjana penjimatan sehingga 20 hingga 30 peratus. Ada juga proses yang hanya mencatatkan penjimatan sekitar dua peratus, namun apabila melibatkan operasi berskala besar, impaknya tetap signifikan,” katanya dalam sesi media bertemakan “AI Impact on Retail Margins & Cost Pressures” yang dianjurkan Xilnex Holdings Sdn Bhd di sini hari ini.

Yang turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Xilnex Holdings, Ooi Boon Sheng; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani; dan Pengarah Urusan AEON360 Sdn Bhd, Low Ngai Yuen.

“Penerapan teknologi itu bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah memberi ruang kepada peruncit untuk mengurus sumber dengan lebih cekap dalam menghadapi cabaran kos operasi yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, sesi media bertemakan “AI Impact on Retail Margins & Cost Pressures” turut membincangkan isu peruncit yang ketika ini berdepan cabaran berterusan susulan kenaikan kos perniagaan di samping sentimen pengguna yang lebih cenderung berbelanja secara berhemah.

Situasi itu turut dicerminkan menerusi pertumbuhan jualan runcit Malaysia yang perlahan kepada 2.4 peratus pada 2025 berbanding 5.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Walaupun Retail Group Malaysia (RGM) menjangkakan sektor peruncitan berkembang empat peratus tahun ini, tekanan kos dan permintaan pengguna yang sederhana dijangka terus memberi kesan kepada industri.

Sehubungan itu, panelis berpendapat AI kini muncul sebagai antara penyelesaian paling praktikal bagi membantu peruncit meningkatkan ketepatan ramalan permintaan, mengurus inventori dengan lebih cekap serta mengautomasikan tugasan rutin.

Ooi Boon Sheng berkata, banyak peruncit sebenarnya memiliki data yang bernilai, namun masih belum dimanfaatkan secara menyeluruh untuk menyokong proses membuat keputusan.

Beliau berkata, AI membolehkan data diterjemahkan kepada maklumat yang boleh digunakan bagi membuat keputusan lebih tepat dalam pengurusan inventori, tenaga kerja dan operasi harian.

“Persoalannya bukan lagi sama ada AI memberi manfaat, tetapi sejauh mana perniagaan boleh melaksanakannya dengan cepat untuk menghasilkan impak yang boleh diukur,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim Sani menjelaskan penggunaan AI perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam bidang digital dan analitik data.

“Permintaan terhadap kemahiran digital dijangka terus meningkat apabila lebih banyak syarikat mengadaptasi AI, justeru pembangunan bakat Bumiputera yang celik teknologi dan memahami AI amat penting bagi memastikan mereka terus relevan serta mampu menyumbang kepada ekonomi digital negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close