Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata justeru orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan terbabit mampu menampung keperluan berterusan di dalam negara dan mudah diperoleh.
“Semalam, penguat kuasa KPDNHEP telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 543 premis perniagaan, termasuk 390 peruncit, 130 pemborong dan 23 pengilang.
“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Sebanyak 1,697 premis didapati mematuhi SOP ditetapkan, manakala 35 diberi nasihat dan satu lagi amaran kerana tidak patuh kepada SOP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pengusaha dan orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk penjarakan fizikal serta kebersihan diri, terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian. – BERITA HARIAN