GovernansPilihan Editor

‘Jangan Jual, Edar, Import Sebarang Produk Yang Boikot Minyak Sawit’ – Johari

Kementerian Perladangan dan Komoditi memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani, berkata kementeriannya akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

“Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, kementerian mahu tekankan bahawa kita kini lebih serius memerangi produk yang memboikot hasil kelapa sawit di dalam negara.

“Saya ingin memberi amaran ini kepada peruncit, pemborong dan pengimport yang kita akan tegas kuatkuasakan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 kepada mereka.

“Malah, selepas ini kementerian akan memaklumkan Jabatan Kastam DiRaja untuk lebih tegas dan teliti dalam pemeriksaan produk yang masuk ke negara ini berkaitan pelabelan boikot produk kelapa sawit,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Amaran dan penegasan itu dibuat susulan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya semalam kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusan produk itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata serbuan yang bermula 11.45 pagi itu ialah berdasarkan aduan awam yang diterima KPDN dan hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan NPO.

Kesemua produk aiskrim terbabit telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti minyak sawit.

Johari berkata, beliau mengalu-alukan dan menyokong tindakan yang diambil KPDN kerana kementerian itu ada kuasa menguatkuasa undang-undang terhadap perkara berkaitan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kementeriannya akan terus memantau isu berkenaan dan meminta penguatkuasaan lebih kerap dijalankan.

“Kita bukan sekat pengimportan produk luar membabitkan minyak boleh makan ini, kita benarkan minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak rapeseed tetapi jika produk itu ada label anti minyak sawit atau tiada minyak sawit (NPO) kita tidak benarkan.

“Kita mahu memastikan tindakan tegas ini bagi menjaga kepentingan industri kelapa sawit yang menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada pendapatan negara.

“Kelapa sawit adalah komoditi utama yang penting dari segi hasil, malah ia memberi peluang pekerjaan kepada 1 juta orang dan 450,000 isi rumah pekebun kecil,” katanya.

Berdasarkan peraturan itu, syarikat tempatan yang didapati terbabit aktiviti diskriminasi boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

Sementara itu, Johari mendedahkan, ada syarikat tempatan terutama pasar raya mewah yang menjual produk menggunakan label kempen anti minyak sawit atau NPO.

Katanya, beliau sudah pun membangkitkan perkara itu dalam Kabinet.

Beliau berkata, ada beberapa peniaga sudah pun menutup label berkenaan pada produk yang dijual.

“Kementerian memberi masa syarikat yang mengimport produk yang ada tertera label kempen anti minyak sawit untuk mengatasi perkara itu sama ada menutupnya atau membuat pembungkusan semula.

“Untuk masa depan, kita beri amaran tidak ada lagi mana-mana produk luar yang dibawa masuk mempunyai label kempen anti minyak sawit,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close