Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan tahun lalu bertambah baik dengan penurunan defisit dan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 dibentangkan ke Dewan Rakyat hari ini menunjukkan, tahun lalu defisit menurun sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya.
“Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1 peratus, berbanding lima peratus pada 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Rekod perakaunannya sudah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini. Ketua Audit Negara sudah memberikan pendapat tanpa teguran dengan perenggan hal-hal lain,” katanya.
LKAN 3/2025 dibentangkan hari ini terdiri 14 naskhah iaitu satu naskhah LKAN Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 dan Aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan, selain 13 naskhah mengenai penyata kewangan kerajaan dan agensi negeri.
Wan Suraya berkata, antara isu terkait dalam laporan LKAN kali ini adalah Projek Pangkalan Operasi Hadapan Di Pulau Mabul di Semporna, Sabah yang sepatutnya siap pada 16 November 2024, masih belum disiapkan sehingga Julai lalu biarpun sudah dirancang sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Antara isu utama dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS), ‘main building’ (selain dari BPS) masih belum siap dan pembinaan jeti yang belum dimulakan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Suraya berkata, mulai tahun ini Jabatan Audit Negara sudah memperluaskan pengauditan terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat melalui sistem e-SelfAudit.
Katanya, pengauditan sistem e-SelfAudit mengadaptasi penggunaan pendigitalan dan teknologi terkini bagi membolehkan semua syarikat diaudit setiap tahun, dengan pengauditan meliputi tiga elemen utama iaitu pencapaian mandat dan objektif penubuhan, pematuhan aspek tatakelola dan prestasi kewangan.
“Sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 sudah diaudit dan jenis Sijil Ketua Audit Negara adalah Pendapat Tanpa Teguran di empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.
“(Sementara) Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain di sembilan negeri iaitu Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor,” katanya. – BH ONLINE




