MalaysiaPilihan Editor

PRN JOHOR: Pusat Mengundi Ditutup, Proses Kira Undi Bermula

Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bermula 8 pagi tadi, tamat selepas 1,021 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 4,638 saluran dibawa ke 56 pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi PRN Johor diumumkan malam ini.

Pada 8 Mac, sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi awal.

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehingga 4 petang tadi, separuh daripada jumlah pengundi biasa itu melaksanakan tanggungjawab mereka di pusat-pusat pengundian.

Anak muda dibenarkan mengundi susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat membentuk Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 36 kerusi DUN dengan DAP memperoleh 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan), PKR (lima) manakala Bersatu (lapan).

Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi manakala PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan PH di Johor jatuh selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada PH di peringkat Persekutuan pada 24 Feb 2020.

Susulan itu, Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai parti-parti di bawah BN serta PAS, sekali gus membentuk kerajaan negeri di Johor dengan 29 kerusi. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close