Richiamo Coffee Sdn Bhd mengumumkan telah memperoleh pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.

Turut diumumkan tiga cawangan Richiamo Coffee Taman Velox Rawang, Richiamo Coffee Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak dan Richiamo Coffee UTMKL Kuala Lumpur, turut menerima pensijilan outlet.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata pengiktirafan pensijilan halal untuk tiga cawangan utama ini adalah penting bagi perjalanan Richiamo Coffee selama 10 tahun ini.

“Pensijilan halal JAKIM begitu penting kerana selain dari pengembangan jenama di pasaran tempatan, pensijilan ini juga amat penting bagi membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pensijilan halal daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz @ Saari di sini pada 15 November 2025.
Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee memberi fokus kepada pensijilan halal ini kerana merancang untuk membawa beberapa produk keluarannya ke luar negara.

Sebagaimana diketahui pengiktirafan pensijilan halal JAKIM adalah yang terbaik dan diperakui serta diterima di seluruh dunia kerana ia bukan mudah untuk diperolehi.
“Ada beberapa produk pra campuran (premix) kami telah pun mendapat pensijilan halal dan mula dieksport ke luar negara seperti di Timur Tengah, namun begitu ada beberapa produk baru masih di dalam ujian dan pemeriksaan JAKIM bagi tujuan kelulusan,” tambahnya.
Bagi memberi fokus kepada pensijilan halal ini, Richiamo Coffee sudah memiliki eksekutif halal sendiri bagi memantau serta memeriksa setiap rantaian bekalan yang dibekalkan kepada pembekal.
“Kita baharu sahaja membuka cawangan di Pnomh Penh minggu lepas dan pensijilan halal ini amat berguna untuk membawa jenama Richiamo Coffee ke luar negara,” katanya.
Pembukaan cawangan baharu di Pnomh Penh Ahad lepas adalah adalah lanjutan daripada pembukaan beberapa cawangan baharu sebelum ini di Aswara dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di Shah Alam. – BACALAHMALAYSIA.MY




