Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Bank Dunia Semak Turun Unjuran Ekonomi Malaysia

Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini kepada 4.5 peratus berbanding unjuran awal 6.0 peratus yang dibuat pada April lalu.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin, berkata penurunan itu berikutan peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan yang memberi kesan jangka pendek kepada ekonomi negara.

Katanya, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka memberi kesan ketara kepada penggunaan swasta termasuk perbelanjaan pengguna.

“Namun pada masa sama, dengan pemulihan daripada permintaan global, eksport dijangka akan berkembang dan meneruskan momentumnya.

“Pemulihan aktiviti ekonomi di banyak negara terutama China, akan memberi sokongan membabitkan aktiviti berkaitan eksport.

“Seterusnya, peningkatan dalam eksport akan memberi kesan limpahan kepada aktiviti pelaburan. Maka berdasarkan semua ini, ekonomi Malaysia diunjurkan untuk berkembang 4.5 peratus pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia – ‘Weathering the Surge’ yang diterbitkan oleh Bank Dunia secara maya, hari ini.

Shakira berkata, semakan semula itu mencerminkan dua perkara iaitu peningkatan kes COVID-10 dan program vaksinasi yang lebih perlahan daripada jangkaan.

“Melangkah ke hadapan, trajektori dan tempo pertumbuhan ekonomi negara bergantung kepada tiga faktor utama.

“Pertama, tempoh pelaksanaan dan kadar ketenatan sekatan pergerakan, kedua keberkesanan langkah pembendungan pandemik dan terakhir tempoh pelaksanaan program vaksinasi,” katanya.

Tambahnya, langkah pembendungan yang tidak berkesan dan pemberian vaksinasi yang perlahan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi.

Katanya, tanpa strategi penjejakan dan pengujian yang betul, pembukaan semula ekonomi akan hadir dengan risiko kemunculan semula gelombang kes baharu dan ini membawa kepada fasa baharu sekatan pergerakan.

“Dengan kadar tempoh vaksinasi Malaysia ketika ini, sebarang gangguan atau penangguhan juga akan memberi kesan kepada rancangan pembukaan semula ekonomi dan keyakinan pelabur keseluruhannya.

“Malah, bilangan isi rumah terjejas tanpa sebarang sokongan yang mencukupi akan turut meningkat. Mereka yang tiada simpanan, pekerja tidak formal dan yang kehilangan pekerjaan akan terus terjejas melainkan mereka diberikan bantuan kewangan yang mencukupi.

“Terakhir, ketidaktentuan politik dalam negara yang berlanjutan boleh terus menjejaskan sentimen pelaburan dan merencatkan perkembangan pemulihan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close