Kedai RuncitPilihan Editor

Sarawak Sambut Baik Cadangan Sebagai Pengeluar Keju Susu Kerbau

Sarawak menyambut baik cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk memperkukuhkan program penternakan kerbau dengan meneroka dalam kegiatan pembuatan keju susu kerbau premium, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya cadangan itu selari dengan program penternakan negeri yang sedang dilaksanakan di Limbang yang menyaksikan kini terdapat lebih 5,000 ekor kerbau di kawasan utara negeri itu, dan penternakan 2,500 ekor kerbau liar di Darwin, Australia.

“Awal tahun ini, kerajaan negeri telah membawa lebih daripada 250 ekor (kerbau dari Australia) ke Limbang untuk diagihkan kepada penternak dan beberapa agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Pada pertemuan itu, Abd Latiff telah mengemukakan cadangan berkenaan manakala Uggah menyatakan kesediaan Sarawak untuk berbincang lebih lanjut dengan pelabur dan pengusaha yang berminat memulakan pengeluaran keju di negeri ini, serta syarat-syarat yang diperlukan untuk pelaksanaan industri itu.

“Kerajaan negeri telah menternak kerbau semata-mata untuk dagingnya, yang sudah memiliki potensi besar, dan dengan cadangan ini, kita dapat menggabungkan bersama objektif itu.

“Sarawak sedang memulakan program pemodenan pertanian besar-besaran tahun depan.

“Oleh itu, mari kita duduk bersama dan berbincang dengan lebih lanjut supaya ia dapat dilaksanakan. Ia amat bersesuaian dengan program sosio ekonomi kita,” kata Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak.

Sementara itu, Abd Latiff berkata negara mengimport keju berjumlah kira-kira RM400 juta setiap tahun dari luar negara dan Sarawak boleh menjadi pengeluar keju halal utama di negara ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

“Kualiti (keju yang diimport) mungkin tidak seperti yang kita harapkan dan boleh dicampur dengan bahan-bahan yang tidak halal,” katanya, sambil menambah beberapa pelabur Amerika telah menunjukkan minat mereka untuk menyertai program pengeluaran keju kerbau itu.

“Menurut pakar, keju terbaik adalah dari susu kerbau,” tambahnya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close