Oleh Prof Madya Dr Md Fauzi Ahmad
BELANJAWAN 2025 menjadi landasan penting untuk Malaysia memperkukuh kedudukan ekonomi di pentas global, terutama menghadapi perkembangan pesat Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Antara keutamaan dalam Belanjawan 2025 adalah memperkasa ekosistem pelaburan boleh menarik pelaburan berteknologi tinggi, sekali gus mencipta peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
Kerajaan perlu memperkenal dasar menggalakkan pelaburan dalam sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan digitalisasi, sekali gus membawa kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.
Malaysia menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion pada 2030 dan pertumbuhan ekonomi 6.5 peratus setahun serta 3.3 juta peluang pekerjaan.
Teknologi tinggi merangkumi sektor seperti semikonduktor dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tenaga boleh diperbaharui, nanoteknologi, bioteknologi serta teknologi pembuatan termaju.
Ia juga dapat membantu Malaysia mencapai sasaran pembangunan mampan seperti pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dapat mengurangkan pergantungan sumber tenaga fosil dan memperbaiki kualiti alam sekitar, manakala pelaburan dalam automasi serta AI mampu meningkatkan produktiviti sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Oleh itu, Belanjawan 2025 perlu memperkenalkan beberapa strategi utama. Pertama, insentif komprehensif untuk menarik pelabur antarabangsa dan tempatan seperti pengecualian cukai, rebat pelaburan dan subsidi bagi syarikat melabur dalam sektor berteknologi tinggi.
Infrastruktur digital kukuh adalah prasyarat menarik pelaburan berteknologi tinggi. Menurut laporan Global Competitiveness Report, Malaysia menduduki tempat ke-27 daripada 141 negara dalam indeks infrastruktur digital.
Justeru, peruntukan mencukupi diperlukan untuk meningkatkan kecekapan rangkaian internet, terutama di luar bandar dengan pelaburan dalam 5G dan rangkaian fiber optik perlu diberi keutamaan.
Reformasi birokrasi mengurangkan halangan pentadbiran dan mempercepat proses perlesenan serta kelulusan kepada syarikat teknologi tinggi juga kritikal. Melalui dasar lebih mesra pelabur, Malaysia boleh lebih kompetitif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Pembangunan zon ekonomi khas memberi tumpuan kepada sektor teknologi tinggi boleh menjadi strategi berkesan. Zon ini boleh menawarkan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, akses kepada rangkaian logistik cekap serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Permintaan tinggi kemahiran teknikal
Seiring perkembangan teknologi, permintaan terhadap pekerja mempunyai kemahiran teknikal tinggi semakin meningkat, sekali gus memerlukan peruntukan bagi meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran kepada tenaga kerja.
Kerajaan perlu memperkenalkan program latihan kemahiran khusus dalam bidang seperti pengaturcaraan, kejuruteraan perisian data sains dan automasi. Melalui inisiatif seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Belanjawan 2025 boleh menyokong pembinaan modal insan berkualiti dan berdaya saing.
Kerjasama antara sektor awam, swasta dan institusi pendidikan diperlukan untuk memastikan program latihan serta pendidikan benar-benar relevan dengan keperluan industri.
Pada masa sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama peningkatan persaingan di peringkat global dengan negara jiran seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia yang turut menawarkan pelbagai insentif menarik pelaburan berteknologi tinggi.
Malaysia perlu memposisikan negara sebagai destinasi pelaburan menarik melalui kelebihan strategik seperti kestabilan politik, kos operasi kompetitif dan kedudukan geografi strategik di Asia Tenggara.
Ini menuntut kerajaan memperkenalkan dasar mesra inovasi dan penyelidikan, dengan memberikan insentif kepada syarikat melabur dalam R&D. Negara berjaya menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti Korea Selatan dan Jepun membuktikan pelaburan dalam R&D adalah kunci kejayaan sektor ini.
Perlu dana sokong inovasi, teknologi baharu
Oleh itu, Belanjawan 2025 perlu memperuntukkan dana untuk menyokong inovasi dan pembangunan teknologi baharu.
Pelaburan dalam teknologi hijau antara sektor berteknologi tinggi semakin mendapat perhatian global. Dengan cabaran perubahan iklim semakin mendesak, banyak negara berusaha menarik pelaburan dalam teknologi dapat mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Malaysia kaya dengan sumber semula jadi, mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam teknologi hijau.
Belanjawan 2025 boleh berperanan untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidro. Dengan memperkenalkan insentif cukai, kerajaan boleh menggalakkan lebih banyak pelabur terbabit dalam industri ini.
Pelaburan dalam teknologi hijau bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon negara, bahkan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Justeru, kerajaan perlu menjadikan Belanjawan 2025 sebagai landasan untuk memperkukuh ekosistem pelaburan berteknologi tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
Dengan strategi baik, Malaysia mampu mencapai matlamat menjadi hab teknologi tinggi, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Pelaburan dalam teknologi tinggi bukan sahaja penting untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara, bahkan mewujudkan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang.
Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi cabaran baharu dan memanfaatkan peluang, sekali gus menjadikan Belanjawan 2025 sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup diimpikan rakyat Malaysia. – BH ONLINE
- Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)