Duniaku TeknokratPilihan Editor

SP Setia Raih Untung Bersih RM75.23 Juta

Keuntungan bersih SP Setia Bhd meningkat kepada RM75.23 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM24.09 juta pada suku yang sama tahun lalu, disokong pendapatan progresif daripada kadar pembelian kukuh.

Pendapatannya meningkat kepada RM1.05 bilion daripada RM702.65 juta sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khor Chap Jen, berkata syarikat itu meningkatkan usaha pemasarannya bagi menjana lebih banyak jualan sebelum Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 berakhir pada Mei 2021.

“Selain itu, kami melancarkan hartanah bertanah dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM525 juta,” katanya.

Chap Jen berkata, syarikat mencatatkan prestasi jualan yang kukuh berjumlah RM1.19 bilion pada suku pertama, dengan 78 peratus disumbangkan oleh projek tempatan manakala bakinya adalah daripada projek antarabangsa terutamanya daripada Daintree Residence di Singapura.

Di dalam negara, jualan disumbang terutamanya adalah dari wilayah tengah berjumlah RM705 juta diikuti wilayah selatan (RM148 juta) dan wilayah utara (RM74 juta).

Menurutnya, SP Setia masih yakin walaupun berhati-hati dengan momentum pasaran yang mampan bagi separuh kedua tahun kewangan semasa, terutamanya dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan baru-baru ini.

“Namun begitu, prospek ekonomi diunjur pulih disokong oleh program vaksinasi yang sedang berjalan di seluruh negara, sekali gus akan memacu ekonomi, khususnya pasaran hartanah tempatan,” katanya.

Sehingga 31 Mac 2021, SP Setia mempunyai 47 projek yang sedang dibangunkan dengan jumlah baki tanah seluas 3,445 hektar dengan nilai GDV RM135.7 bilion dan jumlah jualan keseluruhan yang belum dimasuk kira berjumlah RM10.12 bilion. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close