Pilihan EditorTurun Naik

Lepasan TVET Dahulu Malu-Malu, Kini Ke Depan

Oleh Dr Ahmad Nabil Md Nasir

 

Masyarakat Malaysia hari ini cukup terbuka apabila berbincang mengenai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Dilema pelajar yang dilihat lambat menguasai bidang sains dan matematik, sering dimomokkan dengan sifat berjaya itu hanya dinilai berdasarkan kepandaian kognitif atau otak pemikiran semata-mata.

Namun, keberhasilan lepasan TVET ditonjolkan dengan kebolehpasaran tinggi, kematangan peribadi dan kebolehan mempamerkan upaya kemahiran teknikal. Ia antara faktor bidang TVET semakin dipandang tinggi.

Pemikiran masyarakat dilihat berubah dan kini mula memberi ruang serta peluang kepada pendidikan TVET untuk setara pendidikan perdana.

Namun, bagaimana memastikan lepasan TVET mampu menepis tanggapan industri untuk terus menonjol dalam persaingan sihat di tempat kerja?

Frasa ‘dulu malu-malu, kini bisa mendepani’ cukup relevan dengan lepasan TVET hari ini.

Jika dahulu, mereka rendah diri, tidak berani ke depan, pemalu dan ketinggalan dalam kemahiran bukan teknikal. Semua ini menjadi penghalang untuk pelajar TVET terus bersaing dalam bidang pekerjaan utama negara.

Namun kini, ia semakin bertambah baik. Lepasan TVET dilihat sudah bersedia mendepani arus perdana.

Penghasilan lepasan TVET lebih kompeten dalam aspek kemahiran teknikal, ditambah baik cukup signifikan dengan pelbagai kemahiran lain seperti komunikasi, penyelesaian masalah, berani menyampaikan idea serta berdaya saing.

Penambahbaikan kurikulum berteraskan industri juga langkah penting. Keselarian kurikulum TVET dengan kehendak industri menjadikan lepasan TVET dilengkapi kemahiran semasa.

Keperluan industri berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menjadi tunjang kebanyakan kurikulum pendidikan teknikal di Malaysia masa kini. Penggunaan mesin dan peralatan menepati kehendak industri, menjadikan pelajar lebih bersedia dan tidak kekok apabila bekerja nanti.

Transformasi strategi pengajaran daripada berpusatkan guru, kini berubah kepada berpusatkan pelajar. Pendekatan pelbagai kaedah pengajaran yang lebih menumpukan pelajar sebagai pusat tumpuan seperti Pembelajaran Berasaskan Projek (PjBL) dan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL), cukup memberikan impak.

Pelajar dilatih memberi dan membentangkan idea secara terbuka, memberanikan diri bertanya dan memberi maklum balas serta bekerja dalam kumpulan sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan. Pelajar juga dilatih memberi idea relevan dan memberi impak kepada komuniti serta industri bersasar.

Hakikatnya, pendekatan pengajaran teknikal perlu bersifat inklusif, spesifik dan berstruktur. Ia perlu disusun sistematik dan rapi serta selari keperluan industri supaya menjadi pemangkin kecemerlangan lepasan TVET.

Komitmen pihak berwajib juga cukup memberikan kesan. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain menjadi penaung supaya usaha ini berjalan lancar.

Pihak industri juga tidak ketinggalan. Kesediaan bersama memberikan maklum balas, memberikan latihan kepada pelajar seperti latihan sambil kerja (OJT) dan peningkatan kemahiran kepada pensyarah, guru dan pengajar cukup memberikan kesan positif terhadap input kompetensi teknikal mereka.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan lepasan TVET berdaya saing, masih ada cakap-cakap di belakang. Benar lompong dalam perjalanan penambahbaikan itu wujud, namun dengan usaha bersungguh pelbagai pihak, ia akan berhasil dalam masa berterusan.

Maklum balas bersifat membina diperlukan secara bersama untuk memastikan penghasilan lepasan TVET berdaya saing.

Yang pasti, penghargaan harus diberikan kepada semua yang terbabit merealisasikan impian melahirkan lepasan TVET berdaya saing dalam konteks kemahiran teknikal dan sosial.

Usaha kalian menampakkan sinar, semoga ia terus dipermudahkan Allah SWT. – BH ONLINE

 

  • Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close