MalaysiaPilihan Editor

SPRM & Media Guna Prinsip Asas Sama Iaitu Laporan Tanpa Rasa Takut, Tidak Pilih Kasih & Sebar Maklumat Yang Sahih

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan media perlu kembali kepada prinsip asas iaitu membuat laporan tanpa rasa takut atau pilih kasih dan menyebarkan maklumat yang hanya disemak kesahihannya.

Katanya, prinsip itu turut sama dilaksanakan SPRM iaitu sebagai badan penguat kuasa dan pencegahan rasuah, di mana semua siasatan dan laporan yang dibuat mesti berlandaskan fakta serta bukti selain siasatan dijalankan tanpa rasa takut atau pilih bulu.

“Dalam era media sosial, media perdana menghadapi banyak persaingan untuk menarik minat penonton dan pembaca demi kekal menjadi penyalur maklumat yang utama.

“Tetapi bagaimana media dapat bersaing dengan ‘blogger’ dan pengguna media sosial yang langsung tidak terikat dengan apa-apa peraturan dan etika kewartawanan?

“Hakikatnya hanya satu cara untuk bangkit daripada kelantangan tanpa kawalan suara media sosial iaitu kembali kepada prinsip asal,” katanya.

Beliau berkata, SPRM mengiktiraf media sebagai institusi yang begitu penting dalam sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Dalam sistem demokrasi, katanya media adalah kuasa atau tunjang keempat yang memainkan peranan memantau dan advokasi, sementara badan perundangan menggubal undang-undang, badan eksekutif melaksana dan menguatkuasakan undang-undang dan badan kehakiman menguruskan proses keadilan.

“Kuasa media mampu memantau, mendedah eksploitasi, salah laku kuasa dan korupsi dalam masyarakat…ia mampu mengimbangi kuasa golongan yang elit, serta membawa perhatian kepada golongan paling daif dan terpinggir dalam masyarakat.

“Media memainkan peranan sebagai penghubung atau perantara antara kerajaan dan rakyat…jambatan perantara ini membolehkan maklumat mengalir secara dua hala,” katanya, di sini.

Di majlis itu, Azam telah menyampaikan hadiah kepada pemenang media sempena Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021.

Bagi anugerah tahun ini, SPRM menerima 24 penyertaan membabitkan 14 untuk kategori media elektronik dan 10 bagi kategori media cetak, meningkat berbanding tahun lalu.

Hadir sama ialah Ketua Pengarang Digital BacalahMalaysia, Ahmad Fauzi Mustafa, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya serta beberapa pengarang kanan media arus perdana dan berita portal lain. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close