MalaysiaPilihan Editor

Fadhil Kini Nombor Satu Ranking Dunia

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis di podium selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong minggu lalu. - Foto BERNAMA.

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis di podium selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong minggu lalu. – Foto BERNAMA.
Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis kini mengungguli ranking teratas dunia acara ujian masa lelaki elit, menurut Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), semalam.

Pelumba Yayasan Sime Darby berusia 24 tahun itu mengumpul 1,762.50 mata, naik empat anak tangga selepas mengutip 720 mata apabila meraih pingat perak acara 1km ujian masa pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, minggu lalu.

Muhammad Fadhil adalah pemegang rekod kebangsaan dan Asia acara 1km ujian masa selepas mencatat 1 minit 00.305 saat di Kejohanan Dunia Berlin tahun lalu.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Hong Kong menghuni ranking ke-25 selepas mengumpul 600 mata.

Kejayaan Muhammad Ridwan di Hong Kong turut menyumbang kepada peningkatan ranking Malaysia sebanyak 13 anak tangga kepada kedudukan ketujuh dunia dengan jumlah terkumpul 1,412.50 mata, berdasarkan kemas kini yang disiarkan di laman web UCI www.uci.org.

Sementara itu, harapan pingat emas Sukan Olimpik negara, Mohd Azizulhasni Awang hilang takhta nombor satu acara pecut lelaki selepas dipintas tiga pelumba Jepun.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula jatuh lima tangga kepada kedudukan ke-20 dengan 792.5 mata, manakala Muhammad Fadhil naik 81 tangga kepada kedudukan ke-25 dengan 756 mata.

Bagi acara keirin, Mohd Azizulhasni turun dua anak tangga kepada kedudukan kelima dengan 1,240 mata manakala Mohd Fadhil naik 172 anak tangga kepada kedudukan ke-11 dunia dengan 890 mata.

Pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi pula, turut mempamerkan peningkatan dalam ranking terkini apabila menduduki tangga ke-11 dengan mengumpul 720 mata.

Anis Amira meningkat 108 anak tangga selepas meraih pingat gangsa acara 500m ujian masa wanita di Hong Kong.

Dalam acara keirin, pelumba berusia 23 tahun itu meningkat 37 anak tangga kepada kedudukan ke-35 selepas mengumpul 549 mata dan menduduki ranking ke-40 acara pecut dengan 573 mata. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close