Pilihan EditorTwo Cents

NIRAF- Bagaimana Terus Positif ?

Oleh Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi

 

Sikap positif dan optimistik membolehkan individu memimpin diri mereka sendiri dengan sentiasa mendapat dorongan dalam jiwa.

Bagi penulis, seseorang yang mempunyai dua sifat ini di dalam diri akan melihat segala halangan sebagai peluang.

Beratus-ratus kajian telah membuktikan bahawa berfikir secara positif membantu seseorang menjadi lebih sihat, lebih produktif dan akhirnya lebih bahagia.

Namun bagi kebanyakan individu kini, nilai positif dirasakan sukar untuk dipraktikkan secara berkala.

Semakin hari, semakin jelas dapat dilihat di sekeliling kita, bahawa manusia cenderung hanyut masuk ke dalam lembah negatif atas pelbagai faktor.

Sekian lama, penulis tertarik dengan usaha manusia untuk memahami asas pemikiran positif.

Dari Nabi Muhammad SAW, Epictetus, Aristotle, Buddha, sehingga Oprah, penulis sentiasa mencari setiap hikmah yang dapat diinspirasikan untuk mempraktikkan sifat positif dalam hidup.

Oleh itu, penulis akan kongsikan beberapa prinsip yang membenarkan penulis kekal positif dan optimis dalam apa jua keadaan.

Tiga prinsip yang penulis gunakan untuk terus berfikiran positif dan optimis adalah:

1-Berbuat baik kepada diri sendiri

 “Happiness is not something ready made. It comes from your own actions.” – Dalai Lama

Melalui kata-kata Dalai Lama di dalam bukunya yang bertajuk The Art of Happiness ini, beliau telah menggambarkan bahawa kebahagiaan itu sesuatu yang boleh dicapai melalui tindakan dan pilihan seseorang itu sendiri.

Hal ini kerana, sebahagian besar daripada kita menyalahkan diri sendiri atas penderitaan yang dihadapi.

Walaupun kita mudah menunjukkan belas kasihan, simpati dan empati kepada orang lain, seringkali seseorang terlupa untuk berbuat baik kepada diri sendiri terutamanya apabila menghadapi kesukaran dan kegagalan.

Hal ini apabila kita merasakan sukar untuk menerima, menghargai, dan bersikap belas kasihan terhadap diri kita sendiri.

Sebenarnya, perkara ini boleh diatasi dengan cara seseorang perlu belajar untuk melepaskan segala perkara negatif atau buruk yang telah terjadi, sabar dengan ujian yang mendatang, menghargai setiap perkara yang hadir dalam hidup serta cuba memperbaiki lagi diri atas kesilapan-kesilapan lalu yang dilakukan.

Perkara ini supaya hati dan jiwa merelakan segala apa yang berlaku demi kesejahteraan jangka masa panjang kita sendiri.

Untuk menjadi seseorang yang positif, seseorang itu perlu ingat bahawa segala cabaran dan onak duri yang dihadapi akan membantu kita menjadi versi terbaik diri kita sendiri.

Semua orang menginginkan kebahagiaan, tidak ada individu yang mahu sengsara dalam kehidupan.

Namun, perlu diingati bahawa kita tidak boleh menyaksikan pelangi tanpa sedikit hujan.

Tanpa rasa untuk berbuat baik kepada diri sendiri, mustahil bagi seseorang untuk mencapai pemikiran positif dan optimis dalam hidup.

Persoalannya ialah sama ada kita bersedia untuk menerima kekurangan dan kesilapan yang kita lakukan di dalam hidup.

2-Mengawal tenaga dalaman diri sendiri

“I am the greatest, I said that even before I knew I was.”- Muhammad Ali

Muhammad Ali, kata-kata legenda tinju dunia ini sendiri membawa maksud yang mendalam di sebaliknya.

Secara ringkasnya, manusia akan menjadi apa yang dirinya fikirkan.

Malah terdapat teori fizik yang menyatakan bahawa pemikiran kita mempunyai frekuensi dan getaran unik yang bakal menarik frekuensi serupa ke dalam kehidupan kita. Jadi, pemikiran negatif akan menarik tenaga negatif, manakala pemikiran positif akan menarik tenaga positif.

Ahli falsafah seperti Aristotles juga telah mengemukakan hal yang sama, cara seseorang berfikir menghasilkan tenaga yang akhirnya memperlihatkan realiti individu tersebut.

Di dalam dunia yang sedang pesat membangun dengan teknologi ini, terlalu banyak perkara negatif yang berlaku dan mudah mempengaruhi diri kita tanpa disedari.

Sebagai contoh apabila seseorang individu berkongsikan kejayaannya di media sosial, ada individu yang akan berasa gembira bagi pihak individu tersebut tetapi tidak kurang juga individu yang merasakan individu tersebut sedang menunjuk-nunjuk.

Mengapa perkara ini terjadi?

Di sinilah konsep positif vs negatif atau tenaga dalaman seseorang dipamerkan.

Tanpa disedari, individu yang gembira tadi akan terus berasa gembira dan mencuba untuk mengeluarkan lagi potensi dirinya supaya dapat turut berjaya.

Manakala, individu yang berfikiran secara negatif tadi semakin tidak bahagia dengan hidupnya kerana merasakan semua orang sedang cuba memandang rendah dirinya.

Jika anda tergolong dalam golongan negatif ini, keluarlah daripada kepompong ini kerana sebenarnya, setiap orang sedang mencuba yang terbaik untuk memajukan diri sendiri, janganlah anda sendiri yang menghalang diri untuk beroleh kejayaan dan kebahagiaan hanya kerana terlalu sibuk memikirkan tentang individu lain.

Penulis percaya bahawa tenaga dalaman yang dibawa seseorang akan mampu mempengaruhi dirinya untuk berfikiran secara positif. Kuasa ini terletak pada setiap individu itu sendiri.

 

3-Membina ketahanan mental yang kukuh.

Orang yang mempunyai keupayaan mental yang kukuh mampu berfikiran positif dan menyesuaikan diri dengan senang semasa menghadapi sebarang kesukaran.

Ketahanan mental ini dibina bermula dengan menyesuaikan diri, menerima, dan menghargai.

Bagi penulis, kejayaan dan kebahagiaan datang dengan memiliki kepercayaan, keberanian dan sikap yakin diri untuk mengatasi realiti kehidupan yang keras.

Izharnya, orang yang positif dan optimis memimpin diri dengan sentiasa mendapat dorongan dalam jiwa mereka.

Ketahanan mental yang kukuh ini juga boleh dibina dengan mengelilingi diri dengan orang yang positif dan mereka yang memberi inspirasi kepada orang lain walaupun menghadapi kesukaran sendiri.

Cara lain yang penulis sendiri gunakan untuk menguatkan mental ialah penulis berusaha mencari inspirasi yang boleh datang dari mana sahaja dan sesiapa sahaja.

Hal ini membolehkan penulis mengubah kerisauan, kemarahan, ketakutan, dan kekecewaan menjadi peluang bagi diri sendiri untuk terus maju ke depan berbanding dengan melayan perasaan negatif yang kadang-kala menyinggah.

Langit sememangnya tidak selalu cerah, namun di akhirnya penulis percaya sifat positif ialah sesuatu yang perlu dipupuk, tiada sesiapa yang hanya perlu berserah kepada takdir tanpa berusaha mengubah kehidupan. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah seorang realis dalam dunia idealisme

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close