Pilihan EditorTwo Cents

SPRM Tidak Seharusnya Dijadikan “Punching Bag” Ahli Politik: LIDAH PENGARANG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya menjadi ‘punching bag’ setiap kali ahli politik menghadapi pertuduhan mahkamah atas dakwaan rasuah.

LIDAH PENGARANG setuju sangat dengan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam (USIM) Dr Mohd Azmir Mohd Nizah yang berpandangan bahawa menggunakan SPRM sebagai kambing hitam boleh menjejaskan imej dan reputasi SPRM sebagai agensi pencegah rasuah utama negara.

Sebagai sebuah agensi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah, ia tak sepatutnya digunakan sebagai ‘punching bag’ oleh ahli politik.

Baharu-baharu ini seorang Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang didakwa menyalahgunakan kedudukannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Rozman dalam kenyataan medianya mendakwa pertuduhan rasuah oleh SPRM terhadapnya atas pemberian kontrak pengurusan Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan adalah bermotifkan politik kerana dia tidak mahu meninggalkan Parti Warisan untuk menyokong kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga mendakwa pertuduhan rasuah itu adalah bertujuan mencemarkan namanya sebelum Pilihanraya Umum ke-15.

LIDAH PENGARANG perhatikan kenyataan media oleh Rozman itu  pun jelas berbaur politik serta membawa naratif bahawa SPRM adalah kuda tunggangan dan tidak sepatutnya diungkapkan oleh seorang pemimpin politik.

“Tertuduh seharusnya menjawab tuduhan ini di muka pengadilan, bukannya cuba mengalihkan tumpuan. Ini adalah strategi biasa yang digunakan oleh ahli politik,” kata Dr Mohd Mohd Azmir.

Ramai juga pemerhati seperti Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang dipetik sebagai berkata, jika melihat kepada laporan media, siasatan terhadap Rozman telah dijalankan pada Januari 2020 dan kebenaran mendakwa pada Julai 2021.

“Keputusan untuk mendakwa beliau telah dikeluarkan sebelum pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baharu. Malah MoU yang ditandatangani oleh kerajaan Perikatan Nasional dan pembangkang hanya berlaku pada bulan September.

“Jadi, adalah mustahil untuk mengaitkan keputusan SPRM untuk melakukan pendakwaan disebabkan beliau tidak mahu menyokong kerajaan baharu yang dipimpin Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob,” kata Profesor UIAM itu lagi.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Rozman yang juga Ketua Whip Parti Warisan Sabah (WARISAN), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan. Kontrak itu bagi Syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

LIDAH PENGARANG tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak kerana yang dituduh pun, tak tentu salah lagi, tetapi jangan menunding sana sini apatah lagi SPRM, sebuah agensi yang dipertanggungjawab untuk memerangi rasuah dan penyelewengan. Biarlah SPRM jalankan tugas. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close