Duniaku TeknokratPilihan Editor

UOB Malaysia Lantik CEO Wanita Pertama

UOB Malaysia mengumumkan pelantikan Ng Wei Wei sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita pertamanya, berkuat kuasa 1 Mei 2022.

Beliau akan menggantikan Wong Kim Choong yang akan melepaskan jawatan selepas menerajui bank itu sejak 2012.

Kim Choong akan memainkan peranan baharu sebagai Penasihat Kanan dan akan menyelia integrasi perniagaan perbankan runcit UOB Malaysia dan Citi,sehingga persaraan beliau yang telah dirancang.

Wei Wei ialah seorang ahli perbankan yang mempunyai pengalaman luas dan pengetahuan mendalam mengenai industri kewangan.

Pada peringkat awal kerjayanya dari 2000 hingga 2006, beliau telah mengasah kemahiran perbankan dan membangunkan nilai teras di UOB Malaysia.

Berikutan beberapa peranan kepemimpinan di institusi kewangan global di Malaysia dan Hong Kong, beliau kembali ke UOB Malaysia pada 2019 sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, sebelum menyandang jawatan Timbalan CEO pada 2021.

Beliau memainkan peranan penting dalam mengembangkan perbankan borong UOB Malaysia, selain memajukan keutamaan strategik UOB Malaysia, termasuk usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain juga agenda inovasi.

Di samping itu, beliau membantu pelanggan berkembang di rantau ini dengan memanfaatkan kesalinghubungan, kepakaran dan keupayaan UOB Malaysia.

Timbalan Pengerusi dan CEO Kumpulan UOB, Wee Ee Cheong, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kim Choong atas kepimpinan mantap dan mengucapkan tahniah kepada Wei Wei atas pelantikan sebagai CEO UOB Malaysia.

“Pelantikan Wei Wei menunjukkan kepercayaan teguh kami terhadap kepentingan dan manfaat kepelbagaian ke arah usaha menjangka keperluan pelanggan dalam persekitaran yang semakin mencabar, sentiasa berubah dan tidak menentu.

“Kim Choong bersara dengan rekod prestasi menunjukkan kemajuan UOB Malaysia dalam bidang perkhidmatan pelanggan, kesalinghubungan serantau, inovasi dan kemampanan.

“Saya yakin di bawah pimpinan Wei Wei, UOB Malaysia akan terus mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi ke arah usaha kami membantu pelanggan merebut peluang di dalam dan di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close