MalaysiaPilihan Editor

KES ADIB: Kesalahan Yang Dilakukan Suatu Jenayah Amat Serius Terhadap Penjawat Awam Yang Sedang Bertugas – Kata Pengerusi BN

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang Penjawat Awam yang sedang menjalankan tugas !

Marilah berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. !

Ini antara reaksi Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, pada 17 Disember 2018 jangan dilengah-lengahkan lagi.

 

“Saya mengambil maklum cadangan kerajaan kepada pihak Peguam Negara untuk menuduh 12 orang suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba dan mengadakan semula Inkues untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah,” kata beliau dalam entri Facebook rasminya.

Bagaimanapun, menurut Presiden UMNO, cadangan tersebut seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 yang memutuskan bahawa punca kematian arwah Adib adalah disebabkan dari perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda atau keduanya sekali. Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang Penjawat Awam yang telah dibunuh.

Sewajibnya, Ahmad Zahid menegaskan pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat adalah kesalahan yang berkaitan dengan JENAYAH MEMBUNUH sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan himpunan haram.

“Tambahan cadangan untuk mengadakan semula Inkues, walaupun dibenarkan oleh undang-undang, jelas membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan ahli keluarganya.

“Apatah lagi kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang Penjawat Awam yang sedang menjalankan tugas.

“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Aamiin,” kata Ahmad Zahid.

Entri Facebooknya juga memuatkan hashtag #Rakyatmemerhati  #JangankecewakanRakyat   #UMNOjagarakyat

4 Ogos 2020 lalu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa kertas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

“Ini akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah. Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu.

“Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek.  – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close