GovernansPilihan Editor

ECERDC CAPAI RM2 BILION PELABURAN KOMITED DI TERENGGANU SEHINGGA 31 OGOS

Projek Fertigasi Cili di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INTAN Bakal Tambah Pendapatan Golongan Miskin Tegar dan B40 di Terengganu

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencapai RM2 bilion pelaburan komited untuk 2023 setakat 31 Ogos 2023 iaitu 66% daripada sasaran RM3 bilion untuk negeri Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, 87% (RM1.7 bilion) adalah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan manakala baki 13% adalah pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan dan pelancongan.

ECERDC turut merekodkan pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM1 bilion dalam sektor pembuatan dan pelancongan setakat 31 Ogos 2023 di negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu menzahirkan penghargaan atas usaha konsisten ECERDC dalam merealisasikan serta menarik pelaburan komited baharu daripada pelbagai sektor ke negeri Terengganu.

“Saya berbesar hati kerana negeri Terengganu berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur ke negeri ini berkat inisiatif ECERDC melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Terengganu juga positif tentang kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC kerana ia membuka peluang pertumbuhan dalam usaha kami untuk menarik pelaburan dalam pelbagai sektor ke Terengganu.

“Kami gembira kerana pelaburan dalam sektor selain OGP (Minyak, Gas & Petrokimia) telah direalisasikan dan para pelabur baharu dapat memanfaatkan kekayaan sumber asli, infrastruktur dan ekosistem pelaburan yang matang di negeri Terengganu,” tambah beliau.

Selain pelaburan, antara topik utama yang dibincangkan ketika mesyuarat tersebut adalah projek-projek yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40 di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) termasuk projek fertigasi cili yang akan bermula tidak lama lagi di Hulu Terengganu.

“ECERDC juga akan melaksanakan projek fertigasi cili komersial berskala besar di Setiu yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di bawah program IPR-INTAN yang akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“Di bawah Model Syarikat Induk, 100 peserta daripada golongan miskin tegar dan B40 akan mendapat manfaat dalam fasa pertama pelaksanaan.

“Pada fasa kedua, 40 orang peserta lagi akan dipilih sebagai pekerja oleh Syarikat Induk yang akan dilantik pada Disember 2023.

“Para pekerja dijamin akan mendapat gaji minimum sebanyak RM2,000 sebulan termasuk elaun. ECERDC akan menjalankan tugas sebagai agensi pelaksana bagi projek seluas 80 ekar ini,” kata Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Dato’ Baidzawi berkata, beliau juga yakin projek ini akan membantu menambah pendapatan golongan miskin tegar dan B40 serta melahirkan usahawan tani yang berkebolehan yang mampu memberi impak positif dalam sektor perniagaan tani dan negeri.

“Projek ini akan diperluaskan ke negeri-negeri ECER lain termasuk daerah Segamat di Johor, Kelantan dan Pahang, yang bakal memberi manfaat kepada 240 peserta secara keseluruhan. Para peserta akan dipilih daripada senarai e-Kasih dan iDAMAK (Informasi Data Maklumat Orang Asli) dan mereka yang berminat juga boleh memohon di laman web IPR https://ipr.epu.gov.my/sign_up.

Ketika mesyuarat tersebut, Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu mendengar pembentangan tentang perkembangan perancangan dan pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3), pembinaan sistem perlindungan pantai bagi projek Jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang telah siap pada Mei 2023 dan projek Promenad KTCC Fasa 1 yang telah bermula pada 15 Mei 2023 yang lalu. Apabila siap pada tahun 2025 kelak, Promenad KTCC dijangka menjadi satu lagi tarikan utama dalam kawasan Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu, sebuah projek ECERDC yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2019.

Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu juga mendengar tentang projek-projek dan inisiatif ECERDC lain yang sedang dilaksanakan serta kemajuan Pelan Induk ECER 3.0 yang dibentangkan oleh ECERDC dan PricewaterhouseCoopers Advisory Service (PwC). – ECERDC MEDIA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close