Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Sokong waktu susah dan senang !
Sokong waktu terhimpit dan kelapangan !
Inilah gambaran yang boleh disimpulkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berada bersama-sama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib tiba di perkarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada jam 9.34 pagi bagi mengetahui keputusan perbicaraan rasuah RM42 juta yang dihadapinya.
Terdahulu, Najib, 67, yang memakai sut coklat tiba disambut lebih 200 penyokongnya.
Tinjauan BacalahMalaysia.my turut mendapati Zahid yang juga Presiden UMNO berjalan ke arah pagar utama Mahkamah bagi memberi semangat dan menyapa penyokong UMNO dan BN yang setia sejak awal jam 6 pagi lagi.
Turut kelihatan beberapa pemimpin UMNO lain seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengiringi Ahli Parlimen Pekan itu memasuki kompleks mahkamah.
Kompleks mahkamah di bawah pengawasan polis yang ketat iaitu pasukan Light Strike Force (LSF) dan unit K9 dikerah di pintu pagar utama.
Kumpulan wartawan dari media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul seawal 6 pagi di pintu masuk utama hanya dibenar masuk ke kompleks mahkamah pada 8.45 pagi.
Sepuluh wartawan, seorang dari setiap pertubuhan media, diberi pas untuk membuat liputan dalam mahkamah manakala 40 wartawan lain diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di bilik lain seperti mana yang dilaporkan dalam BERNAMA. – BACALAHMALAYSIA.MY