Malaysia

‘YouTuber’, ‘Social Influencer’ Mohon Penjelasan FINAS

Golongan ‘social influencer’ atau personaliti media sosial memohon penjelasan berhubung syarat Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagi individu yang diwajibkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Alieff Irfan yang mempunyai 1.3 juta pengikut IG, terkejut dengan syarat lesen filem dan SPP itu sehingga terfikir mengenai kariernya sebagai ‘YouTuber’ dan pembekal kandungan.

“Mula-mula dengar (syarat lesen filem) macam pelik. Saya jadi takut kerana ia membabitkan kerjaya sebagai YouTuber.

“Saya cuba mendapatkan kepastian daripada teman yang bekerja dalam industri perfileman.

Alieff mengaku mula risau mengenai karier sebagai ‘YouTuber’ dan pembekal kandungan sebaik mendapat tahu mengenai syarat lesen filem dan SPP. Foto IG Alieff Irfan
Alieff mengaku mula risau mengenai karier sebagai ‘YouTuber’ dan pembekal kandungan sebaik mendapat tahu mengenai syarat lesen filem dan SPP. Foto IG Alieff Irfan

“Selepas itu, saya mula jelas dengan apa yang dibangkitkan termasuk individu yang mahu mendapatkan lesen filem perlu mempunyai modal berbayar RM50,000,” katanya kepada BH Online.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan SPP, sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Saifuddin menjelaskan, kementerian melalui FINAS mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Alieff yang bercita-cita menjadi pengarah filem, mengerti kepentingan memohon lesen bagi menghasilkan karya besar seperti filem. Malah, Alieff sedang berusaha untuk memiliki studio produksi selepas banyak menghasilkan filem dan drama pendek.

“Cuma, apabila membuat video IG dan TikTok kita perlu mendapatkan lesen, saya tertanya-tanya kenapa sampai tahap itu.

“Bayangkanlah, anak muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia media sosial, di mana mereka mahu mendapatkan RM50,000 sebagai modal?” katanya.

Alieff atau nama sebenarnya, Muhd Aliff Irfan Aziki berkata, syarat pelesenan filem dan SPP dikhuatiri menyekat anak muda menjadi kreatif dan inovatif.

“Kalau sekadar ratusan ringgit sebagai modal tidaklah membebankan, ini sampai puluhan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu, Faiz Dickie yang memiliki lebih 570,000 pengikut IG ‘kabur’ dengan syarat pelesenan itu biarpun tidak menolak kebaikan dan keburukan pelaksanaannya.

Faiz atau nama penuh, Mohd Nasrul Faiz Abu Azal, berkata sebaik mendapat tahu mengenai syarat pelesenan filem dan SPP, dirinya ‘berbelah-bahagi’.

“Perkara ini ada kebaikan dan keburukannya. Daripada sudut kebaikan, andai kandungan membabitkan nama dan maruah negara, syarat pelesenan filem dianggap baik.

“Sedikit sebanyak kita dapat menapis apa yang dimuatkan dalam media sosial.

“Namun, di sebaliknya, perkara ini sedikit menyusahkan terutama bagi mereka yang menjadikan proses pembuatan video sebagai salah satu cara menjana pendapatan kecil-kecilan,” katanya.

Faiz berkata, proses menghasilkan klip video atau kandungan mengambil masa.

“Apabila kita diwajibkan meminta lesen dan kebenaran daripada FINAS, proses ini mengambil masa yang sangat lama.

“Sedikit sebanyak, ia menyusahkan kami sebagai ‘influencer’ dan pengguna media sosial yang menjadikan platform digital sebagai punca pendapatan,” katanya.

Faiz mencadangkan, daripada mewajibkan permohonan lesen filem bagi tujuan komersial atau peribadi melalui YouTube, IG dan TikTok, adalah lebih baik kerajaan mewajibkan permohonan pelepasan yang berpandukan kepada kandungan dihasilkan.

“Kalau mereka buat video atau reviu secara suka-suka, seperti ulasan di hotel penginapan ketika bercuti, takkanlah perkara itu memerlukan lesen?

“Namun, jika kandungan dibuat untuk tujuan komersial atau membabitkan topik yang agak sensitif seperti menyentuh negara, kaum dan agama, barulah diwajibkan memohon lesen,” katanya.

Faiz berkata, syarat pelesenan filem dianggap suatu idea yang baik, namun sukar dilaksanakan.

“Perkara ini sangat sukar dipraktikkan atas faktor lambakan video yang ada sekarang. Jadi, kerajaan perlu meneliti lebih mendalam mengenai pelaksanaan peraturan ini,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close