Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
“Jangan lupa susah payah pekerja, kegigihan pekerja dan hempas pulas pekerja,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, syarikat yang merekodkan pertambahan produktiviti dan keuntungan wajar mengagihkan bonus setimpal kepada pekerja.
“Apatah lagi pekerja yang berhempas pulas memastikan kejayaan syarikat mencatat prestasi memuaskan itu.
“Pertimbangan itu perlu diberi keutamaan, khususnya sekiranya pekerja itu sudah menjalani latihan kemahiran semula atau peningkatan kemahiran,” kata Timbalan Perdana Menteri lagi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata tenaga kerja berkemahiran sering menjadi penyumbang kepada pertumbuhan prestasi syarikat yang menguntungkan majikan serta pemegang taruh, namun mereka kerap diabaikan.
Menzahirkan simpati pada kumpulan kesatuan sekerja, beliau menggesa majikan memberi faedah yang setimpal kepada pekerja, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat ketika ini.

“Apabila produktiviti meningkat hasil latihan yang dilakukan, upskilling (peningkatan kemahiran) atau reskilling (pemahiran semula), produktiviti akan bertambah dan ini akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi dan ini menguntungkan majikan.
“Saya lihat majikan, pemegang saham memang mahukan produktiviti bertambah dengan hasrat keuntungan meningkat, dividen diberikan lebih banyak dan pemerolehan modal syarikat bertambah, namun pekerja kerap diabaikan.
“Maka tiba ketikanya majikan menghargai pekerja. Bukan tuntutan gaji, tapi hargai produktiviti dengan memberikan bonus yang sepatutnya kepada pekerja.
“Kita mesti keluar daripada kepompong ini, bahawa bukan hanya soal gaji, tetapi faedah mesti diberikan kepada pekerja atas latihan yang mereka perolehi,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood. – BACALAHMALAYSIA.MY




