Kedai RuncitPilihan Editor

“Nak Cari RM10 Sehari Pun Susah…” – Luahan Seorang Tukang Kasut Di Ampang Jaya

Ujang bertarung mencari sumber pendapatan setiap hari demi kelangsungan hidup. - FOTO Ata Mohamed Zaki
Ujang bertarung mencari sumber pendapatan setiap hari demi kelangsungan hidup. – FOTO Ata Mohamed Zaki

Suara hati seorang lelaki berusia 63 tahun, Ujang Samsudin, mengungkap kisah kepayahan yang dilalui dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Di sebalik senyuman dan kesederhanaan hidup, tersembunyi cerita pilu seorang tukang kasut yang bergelut untuk mencari sesuap nasi di Bandar Baru Ampang.

Dari kejauhan, kelihatan Ujang dengan sabar menanti di sudut kecil tempat dia menjalankan perniagaan.

Pada usia yang sepatutnya menikmati hari-hari tua dengan tenang, Ujang masih bekerja keras, menyediakan khidmat membaiki kasut, beg, dan tali pinggang

Namun, kehidupan tidak selalu indah buatnya. “Insya-Allah sesusah mana pun masalah kasut tu kita akan cuba selesaikan, tak kisahlah koyak teruk atau permasalahannya berat sangat, kita akan cuba baiki. “Bukan nak kata kita boleh selesaikan semua masalah atau sombong, tapi cuba penuhi permintaan pelanggan.

“Cuma hasilnya tak sama macam yang barulah… kita cuba baiki sebaik mungkin,” ujar Ujang ketika ditemui BH Online, baru-baru ini.

Ujang memulakan kerjayanya sebagai tukang kasut pada tahun 1983 di Chow Kit.

Namun, kehidupan muda yang penuh dengan keinginan untuk mencuba perkara baru menyebabkan dia meninggalkan pekerjaan itu.

“Dulu bujang, kawan ajak kerja tu kerja ni, kita buatlah sebab masih ada tenaga kan.

“Suka-suka kerja dengan kawan, cari pengalaman, jumpa orang baru sana sini sebab bujang dan belum kahwin, jadi saya tinggalkan kerja baiki kasut,” katanya.

Tetapi, masa berlalu, dan kini dengan usia yang semakin meningkat, Ujang menyedari bahawa tenaganya sudah tidak seperti dahulu.

Mata yang dahulunya tajam kini sudah mula kabur.

“Sekarang balik buat kerja baiki kasut, buat kerja yang kita mampu. Dulu muda lagi, tenaga banyak, mata pun tajam lagi,” katanya.

Sejak 2019, Ujang kembali kepada pekerjaan lamanya, berpindah dari Batang Kali ke Johor Bahru, kemudian Shah Alam, dan akhirnya Bandar Baru Ampang untuk mencari rezeki.

Namun, kehidupan di Bandar Baru Ampang juga bukan mudah baginya.

Dalam tempoh tiga bulan menetap di Bandar Baru Ampang, Ujang berdepan cabaran besar tanpa ada pelanggan tetap dan setiap hari berlalu dengan ketidakpastian.

“Ada satu masa tu saya bersandar dekat dinding sekejap masa tengah baiki kasut.

“Ada lelaki berbangsa Cina lalu tegur ‘you sakit ke’, tapi saya cuma kata tak ada customer,” kata Ujang, mengenang saat-saat sunyi itu.

Namun, dalam kesusahan itu, ada sinar harapan apabila lelaki itu tersentuh dengan nasib Ujang lalu memuat naik gambar dan ceritanya di Facebook.

Tidak lama kemudian, rezeki Ujang mula terbuka, dengan lebih ramai orang datang mengetahui khidmat yang ditawarkannya.

Walaupun keadaan mula berubah, Ujang tidak dapat melupakan detik-detik kepayahan yang pernah dilaluinya.

“Sebelum viral ni, pendek kata nak cari duit makan pun tak dapat, kadang poket kosong berminggu, nak dapat RM10 sehari pun susah…,” katanya.

Ujang berkata, beliau sanggup berbincang dengan pelanggan mengenai harga servis yang ditawarkan demi mencari pendapatan.

“Kalau pelanggan pernah buat di tempat lain dan rasa harga saya mahal, saya boleh ikut harga mereka.

“Contohnya, kalau di sana RM20 tapi harga saya RM25, saya boleh ikut harga RM20.

“Janji dapat duit sikit, cukup untuk makan dan bayar sewa,” katanya yang menyewa bilik berharga RM380 sebulan di sini.

Kesempitan hidup yang dilaluinya di kawasan baru, di mana orang tidak mengenalinya, membuatkan dia merasakan beban yang amat berat.

Dalam dunia yang serba pantas ini, di mana orang ramai sering kali terlepas pandang akan kesusahan orang lain, kisah Ujang Samsudin menjadi peringatan kepada kita semua.

Walaupun hidupnya penuh dengan kesulitan, semangatnya untuk terus berusaha demi sesuap nasi dan untuk anak-anak yang masih memerlukan, memberikan inspirasi kepada ramai.

Buat anda yang ingin mendapatkan khidmat membaiki kasut, beg, dan tali pinggang daripada Ujang, beliau boleh ditemui di 20G, 28G, Jalan Wawasan 4/5, Bandar Baru Ampang, 68000 Ampang, atau melalui nombor telefon 011-24092189. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close