Governans

Industri Perkayuan Negara Penyumbang Eksport Ketiga Terbesar Produk Agrikomoditi – Johari Ghani

Nilai eksport produk kayu negara 2024 cecah RM22.9 bilion

Industri perkayuan negara menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion) !

Nilai eksport produk perkayuan Malaysia pada tahun 2024 mencecah RM22.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding tahun 2023.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata industri perkayuan negara menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit.

“Namun, jumlah penyertaan Bumiputera secara keseluruhan dalam industri itu masih berada pada tahap rendah.

“Walaupun terdapat peningkatan berbanding tahun 2023, usahawan Bumiputera masih lagi menyumbang kurang daripada satu peratus iaitu RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu.
“Malah, kebanyakan syarikat usahawan Bumiputera juga masih berada dalam kategori perusahaan kecil dan mikro,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium Pemerkasaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan di sini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui agensi perkayuan iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC) sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan pembabitan Bumiputera dalam industri perkayuan.

“DAKN telah menggariskan beberapa strategi utama untuk memperkasa penyertaan Bumiputera seperti memupuk kerjasama antara syarikat perkayuan, memastikan usahawan Bumiputera mendapat pensijilan kemampanan dan mempromosikan kemahiran budaya tempatan yang lebih tinggi seperti pertukangan, ukiran kayu dan reka bentuk tempatan bagi usahawan artisan,” katanya.

Akuinya, masih banyak usaha yang boleh dilakukan dalam usaha membantu usahawan Bumiputera meningkatkan daya saing dan pembabitan mereka dalam industri perkayuan.

Katanya, dalam lawatannya di banyak syarikat perabot yang besar, pihaknya mendapati banyak syarikat besar yang bersedia bekerjasama dengan syarikat Bumiputera.

“Mereka (syarikat besar) bersetuju bekerjasama tetapi memerlukan syarikat Bumiputera yang kuat dan boleh menyalurkan banyak komponens serta memberi idea baharu untuk pengeluaran secara besar-besaran.

“Ini yang saya tekankan kerana setiap daripada syarikat Bumiputera mempunyai kekuatan tersendiri mungkin dari segi reka bentuk tetapi untuk melaksanakan dari segi pengeluaran, mereka ini tiada kekuatan,” katanya.

Selain itu katanya, dengan pembabitan rantaian bekalan itu, secara tidak langsung dapat meningkatkan industri berkenaan dan juga akan memberi manfaat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Ini penekanan saya. Kita tidak boleh in silo kerana dalam dunia perniagaan ini, perniagaan itu bersifat ‘universal’. Ia tidak ada sama ada awak bukan Bumiputera atau bukan Bumiputera.

“Tetapi apa yang perlu adalah kerjasama untuk mengeratkan jalinan ini supaya ekosistem itu menjadi mantap dan menyebabkan kedua-dua pihak, Bumiputera dan bukan Bumiputera juga akan maju bersama dan meningkatkan industri ini,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close