Ekonomi Islam & GlobalGovernans

PARLIMEN: ‘Malaysia Ambil Tindakan Bebas, Berkecuali Berdepan Geopolitik, Ekonomi Global’ – PM

Malaysia tidak boleh mengambil tindakan terlalu pantas dalam memberi reaksi kepada ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berlaku di peringkat global, termasuk perubahan dasar yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar boleh berubah dalam masa yang singkat, umpamanya pengumuman Trump semalam, yang menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada, hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.

Perdana Menteri berkata, melalui dasar yang disepakati ASEAN, Malaysia mengambil tindakan bebas dan berkecuali, yang membuka jaringan dengan semua negara.

“Ada perubahan pagi semalam, bila beliau tidak akan teruskan dan memberi penangguhan pelaksanaan tarif untuk Kanada dan Mexico. Jadi, dalam tempoh sebulan ini, perubahan dasar dijangka berlaku atau dikekalkan.

“Dengan jaringan ini, kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baharu dan membuka peluang meningkatkan eksport ke negara lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, selain jaringan perdagangan yang lebih luas, negara juga memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara mengikut dasar yang diumumkan termasuk pelan perindustrian, transisi tenaga dan digital.

“Selain RM90 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan dalam belanjawan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga sepakat untuk menambah RM120 bilion dalam jangka masa lima tahun,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Guan Eng mengenai langkah kerajaan untuk berdepan kesan tarif yang mungkin dikenakan AS terhadap BRICS, Perdana Menteri berkata, Malaysia masih belum menjadi anggota rasmi BRICS, namun langkah persediaan diambil oleh Jemaah Menteri dan penubuhan jawatankuasa khas.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan perdagangan dengan negara pasaran baharu sudah menunjukkan peningkatan, antaranya Mesir, yang mencatatkan peningkatan 53.6 peratus, Angola (59 peratus), Ethiopia (56 peratus), Algeria (27.9 peratus) dan Libya (19.2 peratus).

“Ini maknanya, jika kita boleh perluaskan kepelbagaian ini, saya percaya kita boleh menahan. Walaupun kita masih terus secara aktif berunding dengan pihak di AS tapi kita tidak boleh menunggu kesan tarif itu, yang jika diteruskan akan memberikan kesan negatif kepada kita.

“Soal BRICS ini, walaupun berita terakhir, China dan Russia masih bertegas menggunakan kewangan sendiri dan tidak bergantung kepada dolar, belum ada reaksi langsung daripada Trump.

“Apa yang penting, Malaysia dan negara ASEAN, kita harus mengambil pendirian, bukan saja bebas tetapi untuk melindungi kepentingan ekonomi negara dan rantau kita,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close