GovernansKedai Runcit

PARLIMEN Pengecualian e-Invois Beri Manfaat Kepada Lebih 700,000 Peniaga Kecil – Amir Hamzah

Kerajaan memberi pengecualian pengeluaran e-Invois, kepada peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan bawah nilai ambang RM150,000, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,

Beliau berkata, langkah itu bakal memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga kecil seperti peniaga nasi lemak atau penjaja.

Katanya, kerajaan juga bersetuju agar fasa pelaksanaan e-Invois bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000 setahun, ditangguhkan kepada 1 Januari 2026.

Beliau berkata, ia bertujuan membantu PMKS supaya mempunyai tempoh persediaan yang secukupnya untuk pelaksanaan berkenaan.

“Sebagai tambahan, tempoh peralihan selama enam bulan juga akan disediakan kepada kumpulan peniaga ini, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 240,000 PMKS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, pelaksanaan e-Invois telah bermula sejak 1 Ogos 2024 bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan e-Invois fasa kedua pula bermula 1 Januari lalu bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

“Sejak pelaksanaan inisiatif e-Invois, sebanyak 25,173 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois yang membabitkan pengeluaran 181.3 juta e-Invois secara keseluruhan,” katanya.

Berhubung cadangan mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum ke dalam KWSP pula, Amir Hamzah berkata, Perdana Menteri telah mengumumkan caruman majikan akan ditetapkan pada kadar dua peratus dan caruman syer pekerja sebanyak dua peratus, hingga kajian selanjutnya pada masa depan dengan mengambil kira kesesuaian semasa.

Beliau berkata, peluasan liputan mandatori caruman KWSP kepada pekerja bukan warganegara bertujuan mewujudkan layanan sama rata antara pekerja tempatan dengan pekerja asing.

“Tanpa caruman wajib untuk pekerja bukan warganegara, ia mengakibatkan kos menggajikan pekerja asing menjadi lebih rendah berbanding menggajikan pekerja tempatan.

“Dengan itu, peluasan mandatori caruman berkenaan secara tidak langsung menggalakkan penggajian lebih ramai pekerja tempatan,” katanya.

Dari segi layanan percukaian, beliau berkata, majikan yang membuat caruman KWSP dua peratus untuk pekerja bukan warganegara, turut layak mendapat potongan cukai ke atas perbelanjaan itu berdasarkan Subseksyen 34(4) Akta Cukai Pendapatan 1967, terhad hingga 19 peratus daripada jumlah saraan pekerja tanpa mengira pekerja terbabit warganegara atau bukan warganegara. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close