GovernansPilihan Editor

KSP RMK12: 31 Peratus Projek RMK12 Sudah Dicapai – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan 31 peratus daripada 175 sasaran projek yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sudah dicapai dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya iaitu pada 2021 dan 2022.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama sebanyak 59 peratus projek dalam sasaran yang ditetapkan melalui RMK12 juga berjalan mengikut jadual.

“RMK12 membabitkan peruntukan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan dan sambungan dalam tempoh lima tahun dan bagi tempoh dua tahun pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus.

“Pada 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada 2022 jumlahnya RM71.6 bilion,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup -5.5 peratus pada 2020 telah mula pulih dengan mencatat pertumbuhan 3.3 peratus pada 2021.

Perdana Menteri menegaskan, KSP yang dibentangkan hari ini ternyata bukan pendekatan biasa untuk menilai pelaksanaan RMK12, sebaliknya ia meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi tantangan semasa.

Beliau berkata, RMK12 yang telah diluncurkan pada 2021 mula dilaksanakan bermatlamat ‘Makmur, Inklusif, Mampan’ manakala gagasan dalam KSP yang dibentangkan bermatlamatkan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’.

“Dimaklum bahawa ketidakstabilan politik berserta hentakan wabak COVID-19 sejak awal 2020 mendedahkan kerapuhan sistem dan kelemahan tatakelola. Dalam tempoh ini juga, negara dirundung kegelapan tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat yang dikuatkuasakan antara 2020 hingga 2021 mengakibatkan rakyat kehilangan mata pencarian, menyusutnya purata pertumbuhan ekonomi, serta merosotnya pelabur asing.

“Seramai 37,167 nyawa diragut COVID-19 sehingga kini. Tabung rakyat juga menyusut dengan pengeluaran dana rakyat khususnya melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM145 bilion.

“Kadar kemiskinan meningkat ke paras 8.4 peratus dengan kadar pertumbuhan ekonomi tercorot akibat bertambahnya kemiskinan, sementara kadar kesenjangan membengkak kepada 0.411 dan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020,” katanya.

Berdepan dengan kemelut itu, Perdana Menteri berkata negara dituntut untuk melakukan anjakan secara tegas dan menyeluruh, lantas kerajaan mengikhtiarkan gagasan Malaysia MADANI dan menyusul dengan kerangka Ekonomi MADANI.

“Kerangka dasar terbabit telah dicerakin dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai prakarsa baharu bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun tahun,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close