Dimensi BisnesPilihan Editor

Astro Terkesan Penurunan Langganan, Kenaikan Kos Kandungan

Perniagaan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) terjejas susulan penurunan langganan dan kenaikan kos kandungan.

Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Jack Lai Yuan Khai, berkata pendapatan Astro bagi tahun kewangan 2023 susut sembilan peratus berikutan penurunan langganan dan segmen beli-belah dari rumah.

Katanya, pendapatan daripada televisyen jatuh 5.7 peratus tahun ke tahun, dengan perolehan kumpulan media itu menguncup sebanyak 25.2 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya berikutan kenaikan kos kandungan.

“Asas langganan kumpulan juga terus menguncup, apabila menyusut 1.8 peratus tahun ke tahun. Sebaliknya, segmen radio mengekalkan momentumnya, dengan pendapatan meningkat 13.1 peratus tahun ke tahun berikutan pembukaan semula ekonomi.

“Secara keseluruhan, keuntungan bersih teras jatuh 28.8 peratus apabila kos kandungan yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan acara sukan utama memberi impak kepada pendapatan. Tidak termasuk radio, kumpulan itu menyaksikan penguncupan di seluruh segmen perniagaan kerana ia terus bergelut dengan kos dan jumlah langganan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

“Astro menjelaskan mereka tidak mengetahui sebarang maklumat berhubung tawaran menjadikannya syarikat persendirian ketika ini.

“Kumpulan juga mengekalkan pandangan berhati-hati dan kini mengutamakan peralihan kepada perkhidmatan penstriman dan model perniagaan agregator serta penekanan kepada penggunaan Ultra Box dan Ulti Box,” katanya.

Keuntungan bersih Astro pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 merosot kepada RM259.04 juta daripada RM460.88 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya selepas ia mencatatkan pendapatan yang rendah pada suku keempat.

Perolehan pada tahun berkenaan berkurangan kepada RM3.80 bilion daripada RM4.18 bilion.

Pada suku keempat berakhir 31 Januari 2023, keuntungan bersihnya susut kepada RM54.75 juta daripada RM126.59 juta dicatatkan sebelum ini manakala perolehan dalam tempoh berkenaan merosot 3.9 peratus kepada RM990.67 juta daripada RM1.03 bilion setahun sebelumnya.

Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Julian Soo berkata, bank pelaburan itu menjangkakan perbelanjaan pengiklanan (adex) yang lebih rendah pada suku pertama 2024 walaupun pada musim Hari Raya memandangkan adex kebiasaannya lebih lemah pada suku berkenaan.

“Dari aspek positif pula, kami melihat hasil langganan mungkin disokong oleh hak penyiaran Liga Malaysia Astro sehingga tahun kewangan 2025.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan segmen beli-belah di rumah akan berterusan mencatat kerugian.

“Prospek perniagaan Astro mungkin terjejas disebabkan oleh hasil langganan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam segmen televisyen. Oleh itu, kami menurunkan pendapatan untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 12 peratus dan tahun kewangan 2025 sebanyak 20 peratus,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close