Industri perkayuan negara menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion) !
Nilai eksport produk perkayuan Malaysia pada tahun 2024 mencecah RM22.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding tahun 2023.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata industri perkayuan negara menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit.
“Namun, jumlah penyertaan Bumiputera secara keseluruhan dalam industri itu masih berada pada tahap rendah.
Mengulas lanjut, Johari berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui agensi perkayuan iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC) sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan pembabitan Bumiputera dalam industri perkayuan.
“DAKN telah menggariskan beberapa strategi utama untuk memperkasa penyertaan Bumiputera seperti memupuk kerjasama antara syarikat perkayuan, memastikan usahawan Bumiputera mendapat pensijilan kemampanan dan mempromosikan kemahiran budaya tempatan yang lebih tinggi seperti pertukangan, ukiran kayu dan reka bentuk tempatan bagi usahawan artisan,” katanya.
Akuinya, masih banyak usaha yang boleh dilakukan dalam usaha membantu usahawan Bumiputera meningkatkan daya saing dan pembabitan mereka dalam industri perkayuan.
Katanya, dalam lawatannya di banyak syarikat perabot yang besar, pihaknya mendapati banyak syarikat besar yang bersedia bekerjasama dengan syarikat Bumiputera.
“Mereka (syarikat besar) bersetuju bekerjasama tetapi memerlukan syarikat Bumiputera yang kuat dan boleh menyalurkan banyak komponens serta memberi idea baharu untuk pengeluaran secara besar-besaran.
“Ini yang saya tekankan kerana setiap daripada syarikat Bumiputera mempunyai kekuatan tersendiri mungkin dari segi reka bentuk tetapi untuk melaksanakan dari segi pengeluaran, mereka ini tiada kekuatan,” katanya.
Selain itu katanya, dengan pembabitan rantaian bekalan itu, secara tidak langsung dapat meningkatkan industri berkenaan dan juga akan memberi manfaat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Ini penekanan saya. Kita tidak boleh in silo kerana dalam dunia perniagaan ini, perniagaan itu bersifat ‘universal’. Ia tidak ada sama ada awak bukan Bumiputera atau bukan Bumiputera.
“Tetapi apa yang perlu adalah kerjasama untuk mengeratkan jalinan ini supaya ekosistem itu menjadi mantap dan menyebabkan kedua-dua pihak, Bumiputera dan bukan Bumiputera juga akan maju bersama dan meningkatkan industri ini,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE




