Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandang ringan batuk yang berlarutan lebih dua minggu kerana ia mungkin tanda awal penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.
Penyakit yang sering dianggap masalah kesihatan biasa itu kini masih menular secara senyap dalam komuniti, sekali gus menyaksikan kemunculan kes baharu setiap minggu di negara ini.

Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Respiratori di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Lo Shan Min berkata pengawalan penyakit tibi masih menjadi cabaran kesihatan awam di negara ini.

Sejumlah 596 kes baharu tibi dilaporkan di seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan pada Minggu Epidemiologi ke-6, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 3,161 kes setakat ini. Sabah, Selangor dan Sarawak antara negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi.
Manakala menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia merekodkan 122 kes tibi bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2023, dengan lebih 26,000 kes dilaporkan setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Dr Lo, tibi boleh merebak apabila seseorang mengalami jangkitan aktif batuk, bercakap atau bersin. Walaupun tibi tidak merebak semudah influenza atau COVID-19, kontak rapat yang berpanjangan dalam persekitaran sesak serta kurang pengudaraan boleh menyebabkan penularan tibi.
“Rumah, tempat kerja, asrama, penjara serta acara komuniti yang sesak boleh menjadi lokasi penularan sekiranya terdapat individu yang menghidap tibi aktif.

Pada masa sama, faktor lain seperti kepadatan penduduk di kawasan bandar, mobiliti populasi, populasi yang semakin menua serta penyakit komorbid seperti diabetes juga boleh menyumbang kepada penularan tibi yang berterusan, “ kata Dr Lo lagi.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) memaklumkan bahawa bakteria tibi merebak melalui zarah-zarah halus di udara, khususnya di ruang tertutup dan kurang pengudaraan.
Keadaan ini menyebabkan pendedahan berpanjangan menjadi antara faktor utama jangkitan.
Dr Lo berkata,
“Penularan tibi biasanya bukan verlaku melalui memerlukan pertemuan singkat, sebaliknya akibat pendedahan dalam tempoh yang lama di ruang tertutup.”
Menurutnya, pemahaman mengenai perkara ini penting bagi membantu mencegah penularan selanjutnya.,”.
Antara tanda awal paling lazim bagi tibi paru-paru aktif ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu.
Gejala lain termasuk peluh malam, demam ringan, keletihan, penurunan berat badan tanpa sebab, serta, dalam kes yang lebih serius, kahak bercampur darah atau sakit dada.
“Gejala ini boleh muncul secara beransur-ansur. Ada individu yang menangguhkan pemeriksaan kerana menyangka ia sekadar selesema biasa.
“Pengesanan awal amat penting, bukan sahaja bagi memastikan rawatan lebih berkesan, tetapi juga untuk mengurangkan risiko menjangkiti orang lain,” jelas beliau.
Walaupun laporan kes mingguan mungkin menimbulkan kebimbangan, Dr Lo menjelaskan bahawa peningkatan kes yang dikesan juga sebahagiannya berpunca daripada usaha saringan dan kaedah diagnostik yang semakin baik.
Usaha seperti pengesanan kontak yang lebih menyeluruh, penggunaan ujian molekul pantas serta peluasan program saringan membolehkan lebih banyak jangkitan dikenal pasti pada peringkat awal.
“Pengesanan yang lebih baik sebenarnya merupakan perkembangan positif kerana ia membolehkan pesakit menerima rawatan lebih awal, di samping mengurangkan tempoh penularan kepada orang lain,” katanya.
Walaupun penyakit ini masih wujud dalam masyarakat, tibi boleh dirawat dengan berkesan jika dikesan pada peringkat awal. Data WHO Malaysia menunjukkan bahawa tibi yang sensitif terhadap ubat mempunyai kadar kejayaan rawatan antara 85 hingga 90 peratus, sekiranya pesakit mematuhi rawatan standard selama enam bulan.
Dr Lo turut menekankan bahawa kesedaran awam, pengesanan awal dan sikap bertanggungjawab amat penting dalam usaha mengawal penularan tibi.
Langkah mudah seperti mendapatkan pemeriksaan jika mengalami gejala berpanjangan, mengamalkan etika batuk serta menjalani saringan kontak boleh membantu membendung penularan penyakit ini. – BACALAHMALAYSIA.MY




