Dimensi BisnesMalaysiaPilihan Editor

77 Peratus Pendapatan Tambahan, 23 Peratus Pendapatan Utama Bagi Pekerjaan P-Hailing – Kajian TERAJU

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

77 peratus daripada responden hanya menjadikan industri perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) sebagai sumber pendapatan tambahan !

23 peratus menjadikannya sumber pendapatan utama !

Majoritinya adalah golongan bekerja sendiri, pelajar serta pekerja swasta !

Ini adalah satu kaji selidik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Dalam kaji selidik itu lagi, dianggarkan lebih 65,660 individu Bumiputera menyertai industri p-hailing dan kebanyakan daripada jumlah itu adalah ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

Penyertaan 93.8 peratus Bumiputera daripada 70,000 penghantar makanan di Malaysia merangkumi Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli dengan majoritinya adalah golongan belia, Islam dan bujang.

Kajian melibatkan 503 responden di Lembah Klang itu juga mendapati 51.7 peratus menyertai sektor itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, 20.5 peratus ketika PKP 2.0 dan 18.5 peratus pada PKP 3.0.

Kajian Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan P-Hailing (Makanan) Dalam Kalangan Bumiputera Semasa Pandemik COVID-19 oleh TERAJU itu dijalankan antara 26 April hingga 21 Mei lepas melalui kaedah soal selidik.

Faktor masa dinyatakan sebagai faktor utama mereka memilih menjadi penghantar makanan diikuti faktor pendapatan, kelangsungan hidup, ekonomi dan kelayakan.

Kajian mendapati 72 peratus responden berpendidikan sekolah menengah dan ke bawah, 27 peratus mempunyai ijazah pertama dan hanya satu peratus berkelulusan ijazah pascasiswazah.

Sementara itu, lebih 70 peratus responden pernah mengalami kecederaan atau kemalangan, namun mereka menyatakan bahawa syarikat pengendali platform tidak memberi faedah kemalangan dan kurang daripada separuh mempunyai insurans peribadi.

“Memburukkan lagi keadaan apabila sebanyak 86.4 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada syarikat pengendali platform (p-hailing) sekiranya mengalami kecederaan atau kemalangan,” menurut kajian itu.

Responden sangat bersetuju caruman berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta faedah-faedah seperti insurans, kad kesihatan, cuti sakit dan khairat kematian perlu disediakan syarikat pengendali platform.

Selain itu, TERAJU telah mengadakan sesi perbincangan kumpulan berfokus secara dalam talian pada 29 dan 30 Julai lepas melibatkan 43 pihak berkepentingan antaranya Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KWSP dan Perkeso.

Turut terlibat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta syarikat pengendali.

Melalui sesi itu, cadangan penambahbaikan dikemukakan merangkumi aspek syarikat p-hailing, undang-undang, sistem aplikasi, vendor dan pelanggan serta keselamatan.

Antara cadangan termasuk mewujudkan sistem penilaian, pensijilan dan pentauliahan kepada platform p-hailing, mewujudkan akta keselamatan jalan raya bagi penunggang p-hailing yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan serta mewujudkan sistem paparan aplikasi yang telus kepada pelanggan untuk melihat secara langsung status pesanan mereka.

Lain-lain cadangan termasuk menambah baik pengiraan jarak dan peruntukan masa, mewujudkan sistem rating bagi keseluruhan pemain industri untuk meningkatkan kecekapan aplikasi, penyediaan garis panduan dan latihan keselamatan untuk penunggang p-hailing serta menyediakan pensijilan halal.

Dengan melaksanakan kesemua cadangan tersebut, diharapkan kebajikan dan keselamatan penghantar makanan adalah lebih terjaga dan terbela, menurut kajian itu. – BACAAHMALAYSIA.MY/BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close