MalaysiaPilihan Editor

Menteri Pendidikan Tinggi Lancar Buku UPSI Berduka, Rakam Insiden Gerik Sebagai Catatan Sejarah

oleh Bazli Razak

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada 16 Jun 2026 melancarkan buku UPSI Berduka, sebuah naskhah dokumentasi khas merakam insiden kemalangan bas mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry berkata penerbitan buku tersebut bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, malah menjadi manifestasi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan, selain memperlihatkan kekuatan semangat kebersamaan yang ditunjukkan pelbagai pihak ketika berdepan saat sukar itu.

“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara.

“Penerbitan UPSI Berduka membolehkan pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.

“Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan oleh masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” katanya pada majlis berkenaan di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Buku berkenaan menghimpunkan kronologi kejadian, pengalaman pelajar yang terselamat, luahan hati waris, kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat dan petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama tragedi berlaku.

Turut dimuatkan ialah dokumentasi tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan UPSI bersama pelbagai agensi dalam usaha menguruskan kebajikan mangsa, waris dan komuniti yang terkesan sepanjang tempoh tragedi tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penerbitan UPSI Berduka merupakan usaha universiti untuk memastikan peristiwa yang pernah menguji ketabahan seluruh warga kampus itu terus diingati sebagai satu pengajaran yang amat bermakna.

“Buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakamkan sejarah yang berlaku dalam keluarga besar UPSI. Ia bukan sekadar catatan tentang kehilangan, tetapi juga kisah kekuatan, pengorbanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak.

“Kami berharap naskhah ini dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pengurusan krisis, selain menjadi penghargaan yang berkekalan kepada mangsa, waris serta semua yang terlibat dalam usaha membantu ketika tragedi tersebut berlaku,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close