MalaysiaPilihan Editor

KKM Sediakan Pelan Strategik Mengurangkan Gula

Kementerian Kesihatan (KKM) menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023-2025).

Menterinya, Datuk Dr Zaliha Mustafa berkata, pelan strategik itu membabitkan tindakan multi-sektoral, namun tidak memperincikannya.

Mengikut laporan dikeluarkan KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit tidak berjangkit (NCD), terutamanya kardiovaskular, kencing manis dan kanser, menyebabkan negara menelan belanja sebanyak RM8.91 bilion atau menyamai 0.65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kos itu dikira berdasarkan kerugian produktiviti akibat ketidakhadiran, kedatangan ke tempat kerja dan kematian pramatang usia bekerja penduduk di Malaysia.

Menurut laporan itu, diet yang tidak sihat menyumbang kepada dua pertiga (68.9%) kos kehilangan produktiviti akibat kematian pramatang penyakit kardiovaskular sementara penggunaan tembakau menyumbang kepada lebih satu pertiga (36.9%) kerugian.

Penggunaan tembakau juga menyumbang kepada kerugian terbesar akibat barah (15%).

Dr Zaliha semalam mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan Keenam Belas (MKMPK-16) yang turut disertai 022 wakil daripada agensi dan kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).

Dalam mesyuarat itu, beliau berkata, terdapat usul pelaksanaan Pensijilan Makanan Selamat sebagai syarat perkhidmatan pembekalan makanan ketika mesyuarat dan majlis rasmi di semua fasiliti kementerian di Putrajaya.

“Perkara ini perlu diperhalusi sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan, sistem pemantauan secara dalam talian bagi Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (MS-NPANM).

Turut disentuh, katanya, pelaksanaan perjanjian peringkat ASEAN berkaitan pemeriksaan dan pensijilan bagi produk makanan, pewartaan akuan nutrien baru bagi asid lemak trans dan akuan fungsi baru bagi antioksidan daripada minyak sawit serta komitmen Industri dalam penghasilan produk makanan dengan pilihan lebih sihat.

“Mesyuarat ini akan dijadikan platform yang tepat untuk perbincangan dan penyelarasan aktiviti bagi menangani isu-isu terkini keselamatan makanan dan pemakanan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close