Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan laporan awal Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkaitan Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini.
Beliau berkata, tumpuan KMF 2026 terhadap isu kuasa adalah bertepatan dengan perkembangan semasa, khususnya berkaitan persoalan kebertanggungjawaban serta keupayaan institusi mengawal dan memastikan mereka yang mempunyai kuasa terus dipertanggungjawabkan.
“Saya akan membentangkan kertas awal mengenai KMF 2026 ini kepada mesyuarat Kabinet Jumaat ini,” katanya dalam ucaptama KMF 2026 di sini, hari ini.
Anwar menegaskan, persoalan kuasa tidak boleh dipisahkan daripada isu tadbir urus dunia dan negara, termasuk kebertanggungjawaban demokratik yang dilihat masih kurang diberi perhatian.
Beliau berkata, kegagalan masyarakat moden termasuk negara demokrasi untuk memastikan mereka yang berkuasa dipertanggungjawabkan sepenuhnya adalah antara punca kepada pelbagai masalah yang berlaku.
Katanya, kebertanggungjawaban tidak seharusnya terhad kepada proses pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam erti kata yang sebenar.
Perdana Menteri turut mengaitkan persoalan kuasa dengan kesan yang ditanggung rakyat, khususnya golongan terpinggir, miskin di bandar dan luar bandar serta komuniti perniagaan apabila berlaku kesilapan dasar atau pengabaian.
Beliau mengambil contoh krisis kewangan 1997 yang menyaksikan perniagaan yang dibina selama bertahun-tahun terjejas, manakala ekonomi Malaysia menguncup lebih 7 peratus pada 1998.
Bertemakan “Who’s Got the Power? Watching the Watchmen in an Imbalanced World’, KMF 2026 adalah satu penelitian mendalam mengenai di mana terletaknya kuasa, bagaimana ia dilaksanakan, dan bagaimana ia boleh diimbangi merentas sektor kewangan, teknologi, tenaga dan tadbir urus.
KMF membantu peserta meneliti bagaimana perubahan global yang besar memberi kesan kepada pasaran, syarikat, dasar awam, pembangunan ekonomi dan masyarakat. – BH ONLINE




