Kedai Runcit

Bank digital; Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL): Waspada penipuan, perangkap hutang

Kemudahan perbankan digital, pinjaman dalam talian dan perkhidmatan ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) kini kian menjadi pilihan pengguna, terutama generasi muda.

Namun, ia juga berisiko menjerumus mereka ke dalam perangkap jenayah kewangan dan beban hutang jika tidak disertai mekanisme kawalan yang lebih ketat.

Mengakui perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata kemudahan membuka akaun bank secara online boleh dimanipulasi sindiket penipuan untuk memperdaya pengguna menjadi keldai akaun.

Katanya, antara kumpulan berisiko ialah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditawarkan habuan kewangan untuk membuka akaun bank, sebelum akses kepada akaun itu diambil alih pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita dapat kes tertentu, terutama pengguna atau orang muda daripada IPT awam dan swasta yang diumpan buka akaun bank dengan tawaran sedikit insentif.

“Selepas itu, akses perbankan mereka diambil scammer untuk tujuan penipuan dan mereka secara tidak langsung terdedah sebagai keldai akaun,” katanya kepada BH .

Mengenai kemudahan permohonan pinjaman dan kad kredit secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal, Hishamuddin menyifatkannya berisiko, terutama ketika tahap literasi kewangan masyarakat masih menjadi cabaran.

Katanya, pengguna sepatutnya diberikan penerangan, sesi kaunseling atau perundingan sebelum mengambil sesuatu kemudahan kredit bagi memastikan mereka faham kemampuan kewangan dan komitmen bakal ditanggung.

“Kalau terlalu mudah, mereka akan begitu mudah ambil pinjaman, sedangkan ada pinjaman sebenarnya tak diperlukan. Apabila tiada literasi kewangan, komitmen akan bertambah, akhirnya mereka mungkin tak mampu bayar ansuran bulanan melebihi kemampuan,” katanya.

Bank perlu nilai risiko pelanggan

Beliau berkata, institusi perbankan juga perlu mengambil kira risiko bakal ditanggung pelanggan, bukan hanya memberi tumpuan kepada pengurusan risiko institusi.

Katanya, bank mempunyai tanggungjawab sosial menilai kemampuan peminjam dan tidak meluluskan kemudahan kredit sekiranya analisis menunjukkan pelanggan berdepan risiko kewangan yang tinggi.

“Bank bukan sahaja perlu menilai risiko sendiri, tetapi juga risiko kepada peminjam. Jika dapati risiko kepada pelanggan terlalu tinggi sekiranya pinjaman diberikan, bank sepatutnya tak beri pinjaman sebagai sebahagian tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan perkhidmatan BNPL yang menurutnya boleh mendorong pengguna berbelanja melebihi kemampuan sebenar.

Katanya, konsep pembayaran secara ansuran boleh menyebabkan pengguna melihat jumlah bayaran bulanan yang kecil tanpa mengambil kira harga sebenar barang dan jumlah komitmen terkumpul.

“Contohnya, barang berharga RM500. Apabila dibayar secara ansuran, mungkin RM50 sebulan. Pengguna rasa jumlah itu kecil, tapi sebenarnya harga barang itu RM500, bukan RM50.

“Keadaan ini menyebabkan pengguna mula berbelanja untuk kehendak di luar kemampuan kerana BNPL membolehkan mereka membeli. Ia akhirnya boleh tingkatkan komitmen bulanan, dedah pengguna kepada risiko gagal buat bayaran.

“Kita tidak sepatutnya membenarkan BNPL kepada semua tanpa had kerana akan ada kumpulan lemah literasi kewangan dan akhirnya terdedah kepada liabiliti atau hutang bulanan tinggi akibat berbelanja di luar kemampuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata kemudahan perbankan digital beroperasi serba pantas amat membantu golongan muda, pekerja gig serta peniaga kecil, namun isu keselamatan kini menjadi perhatian utama.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata taktik penjenayah siber semakin canggih apabila memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas.

“Penjenayah siber hari ini tidak lagi menyerang pintu kebal bank secara kasar, sebaliknya memanfaatkan AI yang kini menjadi persekitaran operasi jenayah harian,” katanya.

Beliau berkata, bank digital turut menyukarkan mangsa yang terpaksa melapor kepada beberapa agensi penguat kuasa berbeza seperti institusi kewangan, polis, platform digital dan syarikat telekomunikasi, namun kadar pemulihan wang tetap mendatar.

“Kesan kes tergantung turut membebankan ekosistem ekonomi digital secara menyeluruh,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close