GovernansMalaysiaPilihan Editor

Kabinet Mesti Hormat Sistem Perkhidmatan Awam – Perdana Menteri Anwar

Menteri yang bakal dilantik dalam masa terdekat diingatkan supaya menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata menteri dan penjawat awam saling memerlukan kerana masing-masing memiliki kepakaran khusus untuk digunakan dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

Mengimbau pengalaman menjawat beberapa portfolio kementerian sebelum ini, beliau berkata begitu mustahak untuk mendengar pandangan daripada pegawai kerana mereka berpengalaman dan kepakaran tertentu untuk membantu seseorang menteri.

“Saya alami pengalaman di banyak kementerian, kebudayaan, belia dan sukan, pertanian, pendidikan dan kewangan.

“Kalau pun saya membuat beberapa cadangan balas atau teguran, hanya setelah saya menghadap apa yang telah berlaku berdasarkan pengalaman mereka,” ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata ia bagi memastikan perkhidmatan awam dapat melaksanakan tugas mengikut landasan tepat, tanpa sebarang kacau ganggu daripada mana-mana pihak.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, Kerajaan Perpaduan wajar membawa kembali draf Akta Perkhidmatan Awam untuk dibentang dan diluluskan, bertujuan memberi perlindungan kepada institusi perkhidmatan awam.

Draf akta berkenaan yang dirangka pada 2018 itu dilihat mampu melindungi penjawat awam daripada kes kacau ganggu, membabitkan ahli politik dan pihak berkaitan.

Akta ini bukan sahaja bertindak untuk memberi perlindungan kepada penjawat awam daripada mana-mana pihak yang membuat kacau ganggu, malah ia turut memperuntukkan tindakan yang boleh diambil ke atas kakitangan kerajaan yang tidak menjalankan tugas hakiki mereka.

Sementara itu, Anwar berkata beliau akan turun ke setiap jabatan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada penjawat awam.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menjadikan perhimpunan bulanan dengan penjawat awam satu-satunya saluran untuk memperoleh input berkenaan.

“Saya berhajat insya-Allah tidak hanya menggunakan majlis seperti ini (perhimpunan bulanan). Tetapi saya akan turun ke jabatan.

“Jangan ingat saya nak check (periksa). Itu kerja KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali).

“Saya pergi untuk kenal, mendapatkan nasihat dan pandangan kerana hanya dengan ini, menganggap satu keluarga …baru kita boleh bekerja sebagai satu pasukan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close