MalaysiaPilihan Editor

Kumpulan Kedua Pelajar Universiti Tajaan JPA Berlepas Ke Amerika Syarikat, Harumkan Nama Malaysia !

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan obligasinya menaja pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

Malam tadi (20 Ogos 2022), kumpulan kedua terdiri seramai lima pelajar tajaan JPA berlepas ke Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan American Degree Transfer Program (ADTP).

Lima pelajar terbabit ialah Nur Intan Rafeena Ahmad Fauzi yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi di Universiti Minnesota Twin Cities), Raja Eiskandar Shah Raja Muhammad Azhan Shah (University Of Maryland), Aisyah Aqiilah Zulkifli (Ohio State University) serta Muhammad Haikal Hazril dan Nur Anis Kamis (Pennsylvania State University).

Ketika ditemui, Nur Intan Rafeena menyifatkan peluang melanjutkan pelajaran di bumi Amerika Syarikat sebagai pengalaman baharunya dalam mencari ilmu dalam bidang ekonomi.

“Dalam dunia terus menerus mendepani kemelut ekonomi, soal ini menjadi pencetus semangat kepada saya untuk mengetahui selok belok sosio-ekonomi yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

“Amerika Syarikat adalah negara maju yang mempunyai pelbagai pendekatan ekonomi yang boleh disesuaikan untuk Malaysia. Ini adalah peluang terbaik sebagai seorang pelajar untuk mencipta idea-idea model ekonomi baharu untuk masa depan,’ katanya ketika ditemui di KLIA.

Aisyah Aqiilah pula berpandangan berkat doa ibu bapa dan usaha yang berpanjangan adalah kunci kejayaan yang diperolehi selama ini.

“Inilah masa terbaik untuk saya membalas budi kedua ibu bapa dan keluarga. Malahan cabaran belajar di bumi Amerika Syarikat ini adalah untuk bersaing dengan pelajar terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya pelajar Malaysia mempunyai keupayaan yang tinggi untuk bersaing dan mencipta kecemerlangan. Atas faktor itulah JPA telah melihat kualiti-kualiti sedemikian ke atas setiap pelajar tajaan mereka, katanya.

Sebelum berlepas, kumpulan kedua pelajar tajaan JPA ini diberikan taklimat ringkas oleh pegawai JPA di KLIA. Pelajar terbabit turut menyanyikan lagu NegaraKu, sesi ikrar dan gambar.

Terdahulu, kumpulan pertama telah berlepas pada 13 Ogos lalu dan kumpulan ketiga pelajar tajaan JPA dijangka akan berlepas pada 27 Ogos depan ke Amerika Syarikat.

Kesemua mereka melanjutkan pengajian di 100 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 30 terbaik dunia mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close