Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) berkata, bakal menyaman Google kerana menggunakan data rakyat negaranya tanpa persetujuan makluman secara eksplisit bagi meningkatkan perniagaan pengiklanannya, lapor agensi berita Sputnik.
“ACCC sudah mengemukakan prosiding Mahkamah Persekutuan terhadap Google LLC (Google), mendakwa Google menyalahguna data pengguna Australia tanpa persetujuan bagi memperluaskan skop maklumat peribadi yang boleh dikumpul dan digabungkan syarikat itu mengenai aktiviti internet pengguna, untuk digunakan Google, termasuk sasaran pengiklanan,” kata badan pemerhati itu.
“Ini bermaksud data pengguna terhadap aktiviti dalam talian bukan Google dihubungkan dengan nama mereka dan maklumat pengenalan lain yang dimiliki Google.
“Sebelum ini maklumat itu disimpan secara berasingan dari akaun Google pengguna,” katanya.
ACCC percaya bahawa dasar itu membolehkan Google meningkatkan perniagaan pengiklanannya secara signifikan dan menghasilkan ‘keuntungan jauh lebih tinggi’.
Sebagai kesimpulan, suruhanjaya itu berkata, perkhidmatan Google dibayar dengan berkesan melalui data mereka,” sambil mempersoalkan adakah polisi itu sudah mempertingkatkan ‘harga’ untuk pengguna. – BERNAMA