Pilihan EditorTurun Naik

Perlindungan Takaful Banjir Satu Keperluan

Oleh Prof Madya Dr Amirul Afif Muhamat

Banjir besar melanda negara mengejutkan banyak pihak khususnya di sekitar Selangor, dengan kawasan tidak pernah dinaiki air sebelum ini turut dilanda musibah itu.

Antara faktor bencana berlaku dengan sangat teruk adalah pembukaan kawasan penempatan baharu, ditambah kesan perubahan iklim yang menyaksikan taburan hujan dua kali ganda lebih banyak berbanding biasa, selain fenomena air pasang besar.

Di sesetengah tempat pula, lokasi kediaman terletak di kawasan dataran rendah atau berhampiran sungai.

Justeru, apa persediaan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan harta benda dilindungi?

Bagi harta benda seperti rumah dan kenderaan, perlindungan takaful untuk bencana banjir satu bentuk pengurusan risiko yang perlu ambil, yang mana ketika ini sambutannya sangat rendah.

Amat menyedihkan melihat video dan perkongsian impak bencana oleh mangsa banjir di media sosial. Tambah menyedihkan, masyarakat di negara ini masih tidak memberi penekanan terhadap keperluan memiliki perlindungan takaful bencana banjir, terutama untuk kediaman dan kenderaan.

Begitu juga polisi perlindungan banjir untuk kediaman. Kategori jenis ini juga antara paling sedikit diambil masyarakat bagi bencana banjir.

Rumah yang masih mempunyai baki hutang dengan bank dimestikan mengambil pelan Takaful Gadai Janji Tempoh Berkurangan (MRTT) atau Perlindungan Pemilikan Rumah Jangka Panjang (LTHO).

Kebanyakannya memberi perlindungan untuk bencana banjir, tetapi tidak untuk rumah yang sudah tamat tempoh pinjaman atau dibina sendiri tanpa membabitkan pinjaman bank.

Oleh itu, ramai memilih tidak mengambil polisi takaful banjir berkenaan.

Masyarakat perlu sedar kerajaan menghadapi kekangan dalam memberi bantuan kerana terdapat ramai mangsa memerlukan perhatian dan sokongan.

Kerugian harta benda akibat bencana bukanlah sedikit, malah mencecah bilion ringgit.

Oleh itu, jika berkemampuan dari segi kewangan untuk menyediakan peruntukan tahunan bagi perlindungan bencana banjir ini, insya-Allah pastinya akan dapat membantu pada saat terdesak nanti.

 

 

Kerajaan dan syarikat takaful juga mungkin boleh mencari satu jalan atau mekanisme mewujudkan produk takaful bagi bencana banjir yang mampu dimiliki kebanyakan rakyat.

Ketika ini, golongan B40 ditawarkan Skim Perlindungan Tenang yang mungkin boleh diperluaskan skopnya.

Sudah semestinya ini bukan mudah kerana setiap produk baharu takaful memerlukan penelitian dan simulasi lengkap.

Namun, dengan adanya produk takaful mampu milik bagi bencana banjir, pastinya dapat menarik ramai rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadi peserta (pemegang polisi) bagi produk takaful ini.

Ia sekali gus dapat menyemarakkan perkembangan industri takaful negara dan pada masa sama, memastikan masyarakat dapat dibantu dan kembali pulih kepada keadaan sebelum bencana. – BH ONLINE

  • Penulis ialah pensyarah Takaful dan Kewangan Islam di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close