Oleh Ahmad Fauzi Mustafa
Pengundi warga negara Malaysia mempunyai hak dan jaminan di bawah Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan mengikut Bahagian VIII – Pilihan Raya yang menyatakan berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya iaitu dalam mana-mana pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri melainkan hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang berhubungan kesalahan dilakukan berkaitan pilihan raya.
Tanggungjawab seorang pengundi adalah tanggungjawab besar kepada masa depan negara. Kesungguhan pengundi tidak kira berumur 18 tahun ke atas, golongan tua, pengundi yang uzur kesihatan dan pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) harus diambil kira wakil rakyat yang telah diberikan mandat selama lima tahun setiap penggal.
Ada pengundi yang tidak tidur malam kerana terlalu teruja, pertama kali mengundi, bersemangat dan bersungguh-sungguh kerana berasakan satu tanggungjawab untuk negara.
Ada pengundi yang bangun seawal jam 3 atau 4 pagi kerana takut terlepas peluang untuk ke pusat pengundian yang hanya baru dibuka jam 8 pagi.
Ada pengundi yang bergerak sebelum Subuh lagi kerana lokasi tempat tinggal mereka jauh di pendalaman atau di desa, ada yang menaiki sampan atau bot, ada yang berjalan kaki, ada yang diusung dengan katil hospital menaiki ambulans, berkerusi roda, bertongkat dan dipapah lagi.
Berbaris panjang bermandi peluh atau kadang-kala ada yang berbasahan dan berpayung dek hujan pada waktu hari pengundian. Ada yang berbaju pengantin dan pakaian beragam, ada waktunya sedikit kekecohan dan ada yang tenteram, malahan ada yang tercicir atau terlupa membawa kad pengenalan. Semuanya itu asam garam pengundi.
Tetapi adakah wakil rakyat yang menang itu menjaga perasaan pengundi yang memberi undi kepadanya serta rakyat di kawasan yang dimenanginya ?
Adakah wakil rakyat yang menang benar-benar memahami, merasai penat lelah dan nadi denyut kesungguhan seorang pengundi yang sanggup turun mengundi kerana atas pilihan mereka berdasarkan parti yang diwakili, latar belakang dan personaliti calon waima calon bebas sekali pun.
Tidak tercuitkah perasaan pengundi terhadap setiap keputusan, tindak-tanduk, sikap, keegoaan, kepentingan tertentu yang diambil mana-mana wakil rakyat yang terpilih mengubah pendirian asal kepada pendirian baharu, tetapi secara jelas pengundi dibelakangi akan keputusan berkenaan.
Seolah-olah pengundi tidak dihormati, dianiayai, dikhianati, tidak dipedulikan dan langsung dibuang begitu sahaja ?
Pengundi hanya sekadar ditatang bagai minyak yang penuh malahan diangkat bagaikan anak emas sewaktu wakil rakyat menjadi calon yang diberikan cerminan jentera politik seolah-olah dari telaga yang jernih takkan mengalir air yang keruh tetapi rupa-rupanya pengundi berasakan ada segelintir wakil rakyat yang umpama dari telaga yang keruh takkan mengalir air yang jernih.
Dalam hal sedemikian, penulis mengimbau kembali seorang sarjana ilmu dari negara jiran, yang menggariskan soal sifat “Arif Budiman” iaitu gabungan dua perkataan yang sememangnya sarat dengan makna dan tuntutan.
Arif membawa erti sifat, sikap dan ciri yang berhemah, didukungi oleh pemikiran yang berhikmah, teguh akalnya, ada kesantunan waktu berhujah, cerdas dan bijaksana, serta berimbang jalan pemikiran pada diri seseorang itu.
Budiman adalah sifat seorang yang teguh akal budinya, berilmu pada kadar dan keperluan hidupnya, sensitif dan prihatin akan linkungannya, serta sedia berjasa dan berbakti pada masyarakat di sekelilingnya.
Menurut sarjana itu lagi, budi membawa maksud gagasan nilai-nilai luhur dan ideal yang dicitakan pada seseorang manusia dan keseluruhan masyarakat, sekaligus bersangkutan dengan perihal kebajikan, kesopanan, dan tingkah-laku yang baik, yang boleh kita sebut sebagai beradat atau beradab.
Watak keperibadian dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat di sekelilingnya dapat menunjukkan budi seseorang itu. Dan apabila disebut nilai-nilai budi yang baik ini, ianya bukan saja harus ada pada diri seseorang itu tetapi juga domain sosialnya.
Penulis berpandangan wakil rakyat sebagai seorang ahli masyarakat berperanan meneguhkan lingkungan kehidupan bermasyarakat itu dengan rasa tanggungjawab, kebersamaan, kasih-sayang, dan saling menghargai antara satu sama lain, selain akur akan kesamaan dan keberlainan di antara kita.
Soal menyemai dan memupuk manusia atau lebih tepat kepada mereka yang bergelar pengundi perwatakan progresif ini adalah sebahagian daripada cita sempurna yang dari masa ke semasa dicetuskan dalam sesebuah masyarakat yang beradab dan sedar akan pentingnya kemajuan dan pembangunan manusia dan masyarakat.
Persoalan besar di sini, adakah tindak-tanduk seorang wakil rakyat yang beralih arah dicerminkan sebagai seorang “ARIF BUDIMAN” lagi bertamadun yang mempunyai visi tentang pengundi, manusia dan masyarakat sempurna yang diidamkan ? – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis adalah Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik serta bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.